Utamakan keselamatan, semoga berjaya tawan puncak Gunung Kinabalu

Admin

GEORGE TOWN – Penyerahan bendera negeri Pulau Pinang oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kepada ‘Team Stayfitsuunah’ menyemarakkan lagi 20 pendaki pasukan berkaitan untuk menakluk Gunung Kinabalu bermula 4 September ini.

 

 

Dalam ucapannya, Kon Yeow menyeru supaya pasukan tersebut meletakkan keselamatan sebagai perkara paling utama di samping menjaga nama baik negeri ini.

 

 

“Saya berharap kesemua peserta misi mengutamakan keselamatan diri dan pasukan melebihi segala-galanya kerana nyawa manusia tiada galang gantinya.

 

 

“Pada masa sama, ambillah peluang ini untuk menonjolkan nilai-nilai Madani dalam diri setiap kita terutamanya yang menyertai misi ini.

 

 

“Tonjolkan kreativiti dan daya cipta sekiranya diuji ketika mendaki, sentiasa hormat-menghormati antara satu sama lain walau dalam keadaan yang genting. Setentak itu, sentiasa berkeyakinan tinggi untuk mencapai tujuan serta menerapkan nilai ihsan serta rahmah kepada ahli pasukan kerana tanpa nilai-nilai ini, ia adalah tidak lengkap ertinya kita sebagai seorang manusia,” ujarnya pada Pelancaran Rasmi dan Penyerahan Bendera Sempena Projek Possible Kinabalu 2023 Team Stayfitsunnah di sini petang tadi.

 

Turut hadir, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Pengerusi dan Pengasas Team Stayfitsunnah, Ahmed Faisal Mohd. Lazim; Ketua Pegawai Eksekutif syarikat MDI Fortune Sdn. Bhd., Mohamad Ashraf Md Iqbar dan Ketua Daerah Utara redONE, Alex Leon.

 

 

Difahamkan bahawa misi yang diberi nama ‘Project Possible Kinabalu Stayfitsunnah’ telah menghimpunkan individu dari pelbagai usia dan latar belakang untuk mencapai matlamat menawan gunung tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu bermula 4 September ini.

 

 

Antara peserta ekspedisi adalah terdiri daripada ahli termuda, Ahmed Irfan Ali Ahmed Faisal, yang berusia hanya 14 tahun, hingga kepada pengembara berpengalaman Mohamed Basir Haja Mydin, berusia 53 tahun.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa misi berkaitan akan dipimpin oleh Ahmed Faisal, yang tidak asing lagi dalam dunia sukan dan aktiviti ekstrem.

 

 

“Daripada aktiviti mendaki gunung, berbasikal, marathon dan sebagainya, saya percaya dengan kebolehan Ahmed Faisal untuk memimpin pasukan misi ini bagi menawan puncak Gunung Kinabalu dan pulang ke tanah negeri tercinta ini dengan selamat,” ulasnya yang juga ADUN Padang Kota.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar & Video : SIEW CHIA EN