UTC Komtar mula beroperasi 17 Ogos ini

Ketua Menteri menunjukkan surat kebenaran beroperasi bagi UTC Komtar pada 17 ogos ini yang diterima daripada Kementerian Kewangan semalam.

GEORGE TOWN – Pusat Transformasi Bandar (UTC) pertama Pulau Pinang yang ditempatkan di Tingkat 2 dan 3, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bakal memulakan operasi mulai Isnin ini iaitu 17 Ogos 2020.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sehingga kini, sebanyak sembilan agensi kerajaan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan memulakan operasi pada tarikh berkaitan.

Tambah beliau, empat lagi agensi iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), JOBS Malaysia dan Kementerian Usahawan dan Koperasi bakal menyusul dalam beberapa minggu akan datang.

Menurut Kon Yeow, UTC Pulau Pinang akan beroperasi setiap hari iaitu dari jam 8 pagi hingga 9 malam pada hari Isnin hingga Jumaat manakala Sabtu dan Ahad (8 pagi – 5 petang) kecuali cuti umum.

“UTC yang menawarkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung dibangunkan sebagai platform untuk memudahkan rakyat untuk berurusan dan mendapat perkhidmatan dengan mengoptimumkan sumber sedia ada.

UTC ditempatkan di tingkat 2 dan 3 bangunan Komtar dan mula beroperasi Isnin ini.

“Saya percaya ramai menantikan pengoperasian UTC ini dan Kerajaan Negeri menjangkakan akan berlaku peningkatan jumlah pengunjung di bangunan ikonik Komtar sebaik sahaja operasi bermula,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Turut serta, Exco Pelancongan, Seni, Budaya, Warisan Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar, The Lai Heng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar, Yew Tung Seang serta Timbalan Pengurus Besar Kanan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Ir. Yeoh Lean Huat.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa penubuhan UTC Pulau Pinang menelan belanja kira-kira 20 juta yang mana kos bagi kerja-kerja pengubahsuaian serta menaik taraf premis serta kawasan sekitarnya dibiayai oleh PDC manakala Kementerian Kewangan (MoF) pula sebanyak RM5.24 juta.

“UTC Pulau Pinang dilihat mampu memberi nilai tambah kepada bangunan ikonik ini (Komtar) sekaligus menjadi pemangkin bagi membuka peluang perniagaan baru dan menghidupkan kembali ruang-ruang perniagaan di lot-lot kedai di dalam bangunan Komtar,” ujarnya.

Kon Yeow dalam pada itu memberitahu bahawa PDC merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk melakukan pengubahsuaian, menaik taraf serta menyediakan ruang pejabat bagi agensi-agensi berkaitan.

“Kos bagi tujuan ini ditanggung oleh PDC manakala kelengkapan bagi agensi-agensi adalah tanggungjawab kementerian atau agensi masing-masing.

“Di bawah perjanjian dua pihak, Kementerian Kewangan (MoF) akan membayar sewa kepada PDC untuk menggunakan ruang-ruang pejabat ini sebagai UTC bagi tempoh sembilan tahun.

“Ini bermakna PDC akan mendapatkan semula pulangan pelaburan melalui sewaan selama sembilan tahun ini,” ulasnya.

Mengulas mengenai isu trafik, Kon Yeow turut menasihati pengunjung ke UTC agar meletakkan kenderaan di tempat letak kereta yang disediakan seperti di pusat membeli-belah Prangin Mall, 1st Avenue dan parkir terbuka berdekatan bagi mengelakkan berlaku kesesakan lalu lintas.

“Pihak MBPP akan menjalankan penguatkuasaan di kawasan sekitar, jadi kita minta kerjasama orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING