Utusan terima saman fitnah kedua Guan Eng

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KETUA Menteri bersama peguamnya, Jagdeep Singh Deo (kanan sekali) bergambar di perkarangan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
KETUA Menteri bersama peguamnya, Jagdeep Singh Deo (kanan sekali) bergambar di perkarangan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Lim Guan Eng baru-baru ini sekali lagi mengemukakan saman ke atas akhbar arus perdana, Utusan Malaysia gara-gara didakwa mengfitnah beliau dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kononnya mahu menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Saman kedua yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu selepas mahkamah yang sama pada hujung tahun lepas memutuskan bahawa beliau bukanlah anti Melayu atau anti Islam sebagaimana dalam rencana Utusan yang berjudul “Kebiadaban Guan Eng”.

Hakim Vargahse a/l George Varughese dalam penghakiman kewangan ketika itu telahpun mengarahkan Utusan membayar denda RM200,000 kepada Guan Eng dan RM25,000 kos kehakiman.

Guan Eng selaku plantif pada 12 Januari lepas mengaku bahawa beliau tidak pernah menggunakan perkataan “menghapuskan DEB” sejak 14 Mac 2008 sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

Berdasarkan pada rakaman dan transkrip asal, Guan Eng berkata beliau mahu membebaskan rakyat Pulau Pinang daripada amalan kronisme di sebalik DEB dengan mengimplimentasikan tender secara terbuka.

Beliau turut mengaku artikel bertarikh 15 Mac 2008 yang bertajuk “DEB: Guan Eng Tetap Berdegil” di akhbar Utusan Malaysia berunsur fitnah serta berniat jahat terhadap dirinya.

Pengakuan itu sebagai menjawab soalan peguamnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Nurmala Salim.

“Jika menang, apa-apa wang yang diterima akan kami dermakan kepaada program membasmi kemiskinan,” katanya di sini.

KERATAN akhbar Utusan Malaysia yang asal.
KERATAN akhbar Utusan Malaysia yang asal.