GEORGE TOWN – Warga emas, iaitu mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas serta mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik tersenarai boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma mulai hari ini, 18 Februari 2025.
Mengulas lanjut, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, program vaksinasi sukarela tersebut itu adalah terbuka kepada mereka yang menghidap diabetes, penyakit respiratori, jantung, obesiti, hipertensi, dislipidemia dan penyakit buah pinggang kronik.
“Mereka boleh mendapatkan vaksin influenza ini di klinik-klinik kesihatan yang telahpun disenaraikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang dalam sidang media di Klinik Kesihatan Jalan Macalister di sini pada 18 Februari 2025.
Di samping itu, beliau memberitahu bahawa berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Rantau Pasifik Barat, kadar positif sampel influenza adalah 26.19 peratus pada Minggu Endemik (ME) Ke-1 2025 dan 21.97 peratus pada ME 4/2025, iaitu penurunan sebanyak 4 peratus.
“Malaysia tidak menunjukkan tren peningkatan kes influenza dan tidak merekodkan sebarang kes selesema burung (avian influenza).
“Kadar konsultasi influenza like ilness (ILI), kemasukan kes jangkitan pernafasan akut (severe acute respiratory infection – SARI) juga menunjukkan kadar penurunan.
“(Walau bagaimanapun) bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, ingin saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana melaksanakan program vaksinasi ini,” katanya.
Turut serta, Timbalan Pengarah JKNPP, Dr. Alias Abdul Aziz.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI