Vaksin, patuhi SOP kunci utama tangani COVID-19 – Ahmad Fuzi

Admin

PANDEMIK COVID-19 telah mengejutkan dunia serta mentransformasikan keseluruhan sistem kehidupan sejagat. Impaknya bukan sedikit, malah hampir-hampir melumpuhkan sistem kesihatan serta ekonomi global dan kehidupan masyarakat yang lazimnya terhenti.

 

Pelbagai inisiatif dengan penerapan normal baharu diperkenalkan sama ada pada peringkat Persekutuan mahupun Negeri, dengan tujuan yang sama iaitu membendung penularan sekali gus menangani sepenuhnya krisis kesihatan luar biasa yang melanda dunia kini.

 

Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR berkesempatan bertemu dengan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) TUN DATO’ SERI UTAMA AHMAD FUZI ABDUL RAZAK bagi mendengar perspektif beliau mengenai situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri ini.

 

Menurut Ahmad Fuzi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang patut dipuji atas dasar dan keprihatinan yang ditunjukkan bagi meringankan bebanan rakyat yang terkesan dek pandemik.

 

Pelbagai bentuk bantuan sama ada dari segi kewangan melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang mahupun bantuan sosial lain seperti bantuan bakul makanan, perlindungan, menyediakan perkhidmatan sokongan dan kaunseling serta bantuan padanan kerjaya kepada kelompok rakyat yang terkesan akibat COVID-19 tersedia.

 

“Sebagaimana semua telah maklum, ramai dalam kalangan rakyat yang tercicir dari segi pekerjaan, ramai juga yang mengalami penurunan pendapatan.

 

“Ada yang terpaksa mengibarkan ‘bendera putih’ untuk mendapatkan bantuan makanan dan sokongan kewangan…paling menyedihkan, ada yang sanggup membunuh diri disebabkan oleh tekanan jiwa rentetan kesempitan hidup yang dialami.

 

“Mungkin dari segi impaknya agak sukar untuk menyelesaikan sepenuhnya keperluan rakyat dan tidak ada kerajaan atau pihak lain yang dapat berbuat demikian kerana sukar untuk diberikan secara berterusan memandangkan sumber kewangan yang sentiasa terhad.

 

“Justeru, tumpuan utama perlu diberikan ke arah menyelesaikan pandemik COVID-19 ini melalui vaksinasi serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan wajar dipatuhi supaya ekonomi dapat digerakkan semula,” ujar beliau yang turut menyanjungi segala inisiatif yang dilakukan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan orang perseorangan demi meringankan bebanan mereka yang terjejas.

 

AHMAD Fuzi Abdul Razak yakin bahawa imunisasi dan pematuhan SOP mampu membendung pandemik daripada merebak.

 

Dalam pertemuan itu juga, Ahmad Fuzi sudi berkongsi cerita mengenai anak perempuannya yang perlu menjalani kuarantin setelah disahkan positif virus COVID-19 baru-baru ini.

 

“Anak perempuan saya telah berkahwin dan menetap di Afrika Selatan bersama-sama seorang cucu dan ibu mentua yang berusia 86 tahun.

 

“Apabila mendapat perkhabaran itu, saya dan isteri di sini memang rasa tidak senang duduk, mana tidaknya, anak jauh dari pandangan mata kita. Alhamdulillah, selepas kuarantin dan rawatan, dia kini telah sihat sepenuhnya.

 

“Anak saudara saya juga sama, baru mendirikan rumahtangga tahun lalu dan disahkan positif akibat jangkitan di tempat kerja.

 

 “Isteri pula mengandung lapan bulan dan perlu menjalani pembedahan caesar, alhamdulillah keluarganya semua kini telah pulih,” kongsi beliau yang turut mendoakan kesihatan dan kesejahteraan semua rakyat semasa pandemik ini.

 

Vaksin adalah kunci

 

Menurut Ahmad Fuzi, vaksin adalah kunci utama bagi mengekang penularan wabak COVID-19 sekali gus mengurangkan kadar kebolehjangkitan.

 

“Secara peribadi, vaksin efektif dan amat diperlukan secepat mungkin untuk menghapuskan wabak ini daripada terus berada dalam komuniti.

 

Lambat-laun semua orang perlu menerima vaksin, walaupun ia bukanlah mandatori buat masa ini dan perkara sebegini tidak harus dipandang ringan.

 

“Begitu juga pematuhan SOP kerana garis panduan yang disediakan ini bukanlah untuk suka-suka, semuanya bersebab,” tegas beliau yang turut berharap agar proses vaksinasi dapat diselesaikan segera.

 

YAKIN dengan usaha Kerajaan Negeri dan respons rakyat Pulau Pinang terhadap program imunisasi, Ahmad Fuzi Abdul Razak harap pandemik dapat diatasi sebaiknya. 

 

Ditanya mengenai respons rakyat Pulau Pinang terhadap program imunisasi yang giat dilaksanakan kini melalui pengamatan, beliau berpandangan bahawa segalanya baik dan amat menggalakkan.

 

“Kalau ada pun, hanya segelintir kecil sahaja yang masih enggan mendaftar atau mengambil bahagian dalam program imunisasi.

 

“Saya yakin sasaran kerajaan untuk memberi imunisasi kepada semua penduduk dewasa di Pulau Pinang (sekurang-kurangnya satu dos) pada bulan September ini akan tercapai sekiranya vaksin yang dibekalkan mencukupi,” kata beliau yang telah menerima dos vaksin lengkap baru-baru ini.

 

Cabaran menangani pandemik

 

Berdasarkan situasi semasa penularan varian baharu, Ahmad Fuzi berkata bahawa cabaran terbesar bukan sahaja bagi Pulau Pinang, bahkan Malaysia dan juga seantero dunia adalah kemampuan untuk kembali pulih seperti sedia kala.

 

Nampak sukar sekali dan hakikat ini turut diakui oleh pakar-pakar perubatan tempatan dan luar negara.

 

“(Dan) yang pasti kita terpaksa hidup dengan COVID-19 ini sepertimana kita telah sekian lama hidup dengan penyakit selesema misalnya.

 

“Virus ini juga dijangka tidak akan hilang begitu sahaja dan paling ditakuti adalah merebaknya pula varian baharu seperti varian Delta yang sekarang ini dominan akan terus melanda tanpa kesudahan.

 

“Situasi sedemikian pastinya meninggalkan impak yang besar terhadap sistem dan norma kehidupan seharian kita,” jelas beliau yang turut menyeru agar rakyat Pulau Pinang bersatu hati menyokong segala usaha dan inisiatif kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 ini. 

 

Sekali lagi beliau menegaskan bahawa pematuhan terhadap SOP amat penting dan tidak seharusnya dipandang ringan.

 

“Saya yakin dengan sokongan padu semua rakyat, objektif bersama kita ke arah menangani pandemik ini akan dapat dicapai akhirnya, InsyaAllah,” kata beliau.

 

100 Hari sebagai Yang di-Pertua Negeri Ke-VIII

 

Tanggal 8 Ogos 2021 genap 100 hari Ahmad Fuzi mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Ke-Lapan. Sepanjang tempoh ini juga Pulau Pinang telah melalui beberapa siri perubahan di luar kebiasaan normal baharu.

 

Pastinya sukar, namun bagi bekas diplomat ini tempoh 100 hari pertama ini digunakan untuk mendekati pimpinan tertinggi di negeri ini sama ada daripada pentadbiran kerajaan, pihak swasta dan NGO.

 

“Saya telah mengambil kesempatan dalam tempoh 100 hari tersebut untuk bertemu secara berasingan dengan Ketua Menteri; Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri; Mufti dan Ketua-ketua pelbagai Jabatan serta Agensi Kerajaan sama ada di peringkat Negeri mahupun Persekutuan.

 

“Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin daripada pihak swasta dan pertubuhan serta badan bukan kerajaan (NGO).

 

“Pertemuan ini adalah bagi mendengar taklimat mengenai program-program semasa serta perancangan masa hadapan dan proses (untuk bertemu dengan pihak berkaitan) ini belum lagi selesai, saya akan teruskan selanjutnya,” kata beliau.

 

TEMPOH 100 hari pertama digunakan untuk bertemu dengan pimpinan kerajaan, pihak swasta, NGO dan pemimpin masyarakat. 

 

Menurut Ahmad Fuzi melalui sesi pertemuan tersebut membolehkan beliau mendapat gambaran yang jelas mengenai kedudukan semasa dan hala tuju para pemimpin sama ada di peringkat parti politik; jabatan dan agensi kerajaan serta NGO berkaitan di Pulau Pinang.

 

Sebagai sebuah negeri maju, Pulau Pinang sememangnya bertuah kerana mempunyai banyak kelebihan dari segi kedudukan geografi yang strategik, politik yang stabil, kadar literasi yang tinggi untuk menampung keperluan sumber manusia, infrastruktur yang moden serta sistem perundangan dan pentadbiran yang matang.

 

“Rakyat Pulau Pinang juga mempunyai aspirasi yang tinggi untuk terus maju bagi mencapai tahap pembangunan yang lebih tinggi dalam pelbagai bidang termasuklah pelaburan dan industri, pertanian, ekonomi digital, pelancongan serta kebudayaan (yang mana) ia sejajar dengan hasrat kerajaan ke arah Visi Penang2030 iaitu Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Aspirasi Negara.

 

“(Dan) saya bersedia membantu setakat mana yang boleh, bersesuaian dengan tanggungjawab perlembagaan saya bagi mencapai objektif yang ditetapkan,” jelas beliau yang turut gembira untuk kembali berkhidmat di negeri kelahiran, Pulau Pinang.

 

Tambah beliau, walaupun ‘kepulangan’ ke Pulau Pinang dengan menggalas tanggungjawab yang berbeza namun beliau tetap akan menumpahkan taat setia yang sebenar terhadap negeri Pulau Pinang khasnya dan Malaysia amnya serta melaksanakan amanah yang diberikan kepada beliau.

 

Visi Penang2030 komprehensif dan relevan

 

Hala tuju negeri kini adalah berpandukan Visi Penang2030 iaitu ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah Negeri Hijau dan Pintar Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

Menurut Ahmad Fuzi, setelah membaca dan memahami intipati Visi Penang2030 beliau mendapati bahawa ia merupakan visi yang komprehensif.

 

“Syabas kepada Kerajan Negeri, dokumen pembangunan yang begitu komprehensif merangkumi pelbagai bidang demi kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

 

Teras-teras yang dimasukkan dalam visi ini sungguh relevan dan bersesuaian sekali dengan keperluan pembangunan negeri ini pada masa ini.

 

“Saya kira masa 10 tahun yang telah ditetapkan adalah sesuai sekali bagi membolehkan pelaksanaan dan penilaian dibuat bagi mencapai visi tersebut.

 

“Rakyat Pulau Pinang patut menerima baik usaha yang dilakukan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat, menaik taraf ekonomi melalui peningkatan pendapatan isi rumah, memperkasakan rakyat melalui penyertaan umum dan meningkatkan daya tahan dalam pelbagai bidang melalui pelaburan memodenkan infrastruktur awam.

 

“Malah, ia sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDGs),” zahirnya yang berharap lebih banyak pihak tampil memainkan peranan memperkasakan lagi visi tersebut pada semua peringkat.

 

Beliau turut tertarik melihat tindakan proaktif Kerajaan Negeri dalam menyesuaikan 16 Inisiatif Strategik Visi Penang2030 dengan situasi semasa pandemik ini agar lebih relevan.

 

“Saya percaya dengan usaha gigih dari segi pentadbiran dan pelaksanaan, bimbingan bijaksana Kerajaan Negeri serta sokongan padu semua pihak termasuk rakyat di negeri ini, segala rintangan dan masalah yang dihadapi dapat diselesaikan secara baik,” katanya yang yakin bahawa usaha adalah tangga kejayaan.

 

Zaman kanak-kanak corak persepsi 

 

Ketika berkongsi cerita mengenai zaman kanak-kanak, anak kelahiran Sungai Bakap ini berkata banyak kenangan manis bersama-sama rakan sebaya dilakar.

 

“Membesar di tempat kelahiran saya di Sungai Bakap dalam persekitaran kampung banyak memberi pengaruh yang sungguh bermakna terutama dalam mencorak nilai-nilai serta persepsi saya di kemudian hari.

 

Kehidupan di kampung walaupun banyak kekurangan, ada baiknya juga kerana ia mengajar saya untuk hidup secara sederhana.

 

“Saya juga mempunyai kenangan manis bersama-sama kawan sebaya umur, kami bermain permainan-permainan kampung yang tidak lagi popular dalam kalangan kanak-kanak sekarang ni.

 

“(Dan) dulu kalau hendak makan apa-apa sahaja buah semasa musimnya, cuma panjat pokok sahaja, tidak payah beli pun,” kata beliau yang gemar bermain permainan sepak takraw semasa kecil.

 

ZAMAN kanak-kanak di kampung bukan sahaja mengukir kenangan manis tetapi juga mencorak persepsi hari ini. 

 

Ahmad Fuzi melalui zaman kanak-kanak di Sungai Bakap sehingga berusia tujuh tahun sebelum berpindah ke Taiping, Perak sehingga usia 16 tahun dan kembali ke Pulau Pinang ketika di Tingkatan 5. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran Tingkatan 6 di Ipoh sebelum ke Universiti Malaya dan seterusnya mengikuti UK Foreign Service Programme.

 

Setelah tamat pengajian, beliau menyertai perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik sejak tahun 1972 dan bertugas di pelbagai jabatan di Kementerian Luar Negeri sehingga tahun 2009.

 

Pernah mengetuai tugas-tugas khas termasuk delegasi pegawai kanan negara dalam rundingan pelbagai persidangan dua hala sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa, beliau menganggap ia sebagai suatu pengalaman yang cukup bermakna.

 

Malah, beliau menganggap peluang tersebut telah memberi ruang membuat perbandingan antara negara-negara yang pernah dilawati.

 

Selain itu, beliau juga menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang memanfaatkan kebolehan diplomatik dan rundingan untuk disesuaikan sewajaranya kelak.

 

“Saya kira apa yang penting adalah menilai secara objektif dan profesional apa-apa juga kesesuaian yang boleh dijadikan teladan untuk diserapkan dengan matlamat kita,” katanya yang berharap untuk memberi sumbang bakti sewajarnya kepada negeri Pulau Pinang.

 

Menyentuh soal pemakanan pula, Ahmad Fuzi memberitahu bahawa beliau menikmati apa jua jenis makanan, tidak mematuhi sebarang pantang larang asalkan halal dan suci.

 

Harapan untuk masa depan Pulau Pinang

 

Sebagai anak watan Pulau Pinang pastinya masa depan negeri ini amat dekat sekali di hati beliau.

 

Pulau Pinang mempunyai keunikan yang tersendiri serta asas yang kukuh bagi membolehkan nengeri ini terus maju mengikut acuannya sendiri.

 

“Saya harap Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama yang berjaya mengatasi pandemik COVID-19 dari segi vaksinasi dan juga kesediaan menggerakkan semula ekonomi negeri ini bagi menjamin kedudukan negeri ini sebagai negeri yang berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya yang mahu melihat Pulau Pinang menjadi inspirasi negara.

 

Mengulas lanjut, Ahmad Fuzi berkata, Pulau Pinang mempunyai kapasiti yang tinggi bagi menyumbang ke arah pencapaian pelan transformasi ekonomi digital Malaysia, setanding dengan negara-negara lain di rantau ini.

 

“Saya ingin melihat Pulau Pinang meningkatkan kedudukannya sebagai negeri hijau yang maju dan moden dalam pembangunan industri termasuk industri elektrikal dan elektronik (E&E) dan industri halal.

 

“Selain itu, pastinya saya juga ingin melihat Pulau Pinang menjadi pusat terpenting di Malaysia dalam bidang pendidikan, kesihatan, pelancongan dan kebudayaan.

 

“Begitu juga pada aspek perpaduan nasional, saya mahu Pulau Pinang menjadi model yang boleh dicontohi di Malaysia (berdasarkan kelebihan yang dimiliki oleh negeri ini) dari segi penggubalan dasar, pelan tindakan yang praktikal dan program-program demi mencapai objektif tersebut.

 

“Saya sedar mungkin agak sukar untuk menentukan dengan tepat masa depan mana-mana negeri atau negara tetapi menjadi tanggungjawab kita bersama untuk berusaha bersungguh-sungguh di samping berdoa segalanya yang terbaik untuk negeri kita,” jelas beliau.

 

Akhir pertemuan, Ahmad Fuzi mengambil kesempatan menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh anggota barisan hadapan atas jasa dan peranan serta bertungkus-lumus saban hari membantu rakyat terutama sepanjang tempoh pandemik yang telah setahun setengah melanda Malaysia.