Vaksinasi pelajar : Teruja, tidak sabar kembali ke sekolah secara bersemuka

Admin

PANTAI JEREJAK – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memutuskan bahawa golongan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun yang layak kini boleh menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan – Remaja (PICK-Remaja).

Saranan pemberian vaksin kepada golongan berkenaan adalah bagi meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka dibuka semula setelah sekian lama tertangguh di samping meningkatkan imuniti kelompok.

 

Melalui tinjauan wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Setia SPICE Convention Centre (SSCC) hari ini, lima responden menzahirkan rasa teruja apabila menerima panggilan untuk divaksin.

 

 

Bagi NUR HANI ZALIKA MUHAMMAD ZAKI, 16, beliau merasakan vaksinasi adalah lambang intelektual diri.

 

 

“Memandangkan kes yang masih tinggi vaksinasi adalah penting kepada semua individu yang berkelayakan dan ini adalah kesedaran saya sendiri tanpa dipaksa mana-mana pihak.

 

 

“(Dan) dengan pengambilan vaksin, InsyaAllah ikhtiar ini menjadikan kita lebih selamat dan dilindungi,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara.

 

 

Seorang lagi responden yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga, TEH YU XI menjelaskan bahawa niatnya cuma satu iaitu untuk kembali ke sekolah dengan selamat.

 

“Saya berharap apabila ramai remaja divaksin, sesi persekolahan dapat disambung semula, selain itu lebih rasa selamat untuk keluar bersama kawan-kawan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” jelas pelajar berusia 15 tahun yang menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Han Chiang itu.

 

Merindukan sesi pembelajaran di sekolah secara bersemuka menjadikan NUR AZAM ASSYAKIRIN AZMAN, 17, bersemangat serta teruja untuk mengambil suntikan vaksin.

 

 

“Melalui sumber sedia adapun kita sudah faham kepentingan vaksin, rindu suasana pembelajaran di sekolah nak jumpa kawan-kawan balik.

 

 

“Setakat ini juga belum dengar ada kawan-kawan yang menolak vaksin dan saya yakin mereka juga tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu yang sering disebarkan oleh anti-vaksin,” maklum pelajar Kolej Vokasional Batu Lancang itu.

 

 

Seorang lagi pelajar SJKC Han Chiang, CHAI MAYPELLE, 15, teruja untuk menerima suntikan vaksin pertama setelah didorong oleh ibu bapa dan guru.

 

 

“Walau bagaimanapun sesi persekolahan belum pasti, saya juga ingin untuk kembali ke sekolah cuma masa ini pelajar yang akan mengambil peperiksaan sahaja akan kembali ke sekolah dalam masa terdekat,” katanya yang menunggu hampir satu bulan sebelum menerima panggilan vaksinasi hari ini.

Walaupun pada mulanya agak keberatan memberi kebenaran anaknya menerima vaksin berikutan usia yang masih muda, akhirnya S. KAMACHI, 36, benarkan anaknya, N. KEVIINESH, 13, untuk berbuat demikian.

 

“Mulanya agak bimbang tetapi setelah mendengar nasihat dari pihak kerajaan saya jadi yakin.

 

“Untuk datang ke sini pun dia (Keviinesh) agak berdebar juga, saya tenangkan dia, semoga semuanya selamat,” katanya.

 

Dalam pada itu, rata-rata ibu bapa, penjaga dan waris sah yang ditemui ketika menemani penerima vaksin remaja turut melahirkan rasa lega dengan pelaksanaan PICK-Remaja ini. Mana tidaknya, sebelum ketetapan ini dibuat ramai dalam kalangan ibu bapa khuatir untuk mengizinkan anak-anak mereka keluar bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 atau menjadikan anak-anak mereka sebagai agen perebakan virus. 

 

Di Pulau Pinang, proses vaksinasi kepada pelajar tanpa komorbid dijalankan sejak 22 September lalu di PPV terpilih di negeri ini. Manakala, bagi pelajar dengan komorbid, janji temu dijalankan di hospital-hospital berdekatan. Kedua-dua kategori pelajar ini akan menerima janji temu melalui aplikasi MySejahtera.