Visi Penang2030 beri inspirasi kepada rakyat

Admin

VISI Penang2030 yang digagaskan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bukan sahaja memberi penekanan terhadap pembangunan institusi kekeluargaan, malah turut merangkumi aspek negeri hijau dan pintar sebagai hala tuju dalam pentadbiran Kerajaan Negeri bagi tempoh 10 tahun akan datang.

 

Bertunjangkan empat tema iaitu meningkatkan daya huni sebagai peningkatan kualiti hidup rakyat; menaik taraf ekonomi untuk meningkatkan pendapatan isi rumah; memperkasakan rakyat bagi meningkatkan penyertaan umum dan melabur dalam infrastruktur serta kemudahan awam bagi meningkatkan daya tahan dalam pelbagai keadaan, visi Penang2030 adalah wawasan berinovasi yang merangkumi semua aspek pembangunan tanpa meminggirkan mana-mana entiti.

 

Malah, melalui kerangka kerja, visi ini juga bakal memastikan segala perancangan yang direncanakan akan dilaksanakan secara seimbang serta berhemah demi kelangsungan negeri ini.

 

Menurut kaca mata Ketua Menteri, penglibatan rakyat Pulau Pinang dalam merealisasikan visi Penang2030 adalah amat kritikal kerana ia bukan hanya boleh dijayakan oleh Kerajaan Negeri, tetapi sebaliknya memerlukan penyertaan semua warga negeri secara menyeluruh.

 

Selaras dengan Revolusi Industri 4.0, Pulau Pinang akan terus mengekalkan momentum yang dicapai kini dan terus bersaing di pentas transformasi global berlandaskan hala tuju yang direncanakan melalui Penang2030.

 

Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI sempat menemu ramah beberapa individu bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai visi Penang2030 berkaitan.

 

ROSHANNISA Che Kassim.

Bagi peniaga, ROSHANNISA CHE KASSIM, 45, yang menetap di Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah (SPT) menyatakan bahawa visi Penang2030 yang digagaskan oleh Ketua Menteri telah memberi inspirasi kepadanya untuk terus memainkan peranan bagi merealisasikan visi negeri tercinta.

 

“Saya berharap visi Penang2030 akan menjadi kenyataan dan dapat direalisasikan memandangkan ia merangkumi semua aspek kehidupan serta menyentuh setiap warga Pulau Pinang.

 

“Saya percaya ia bakal menjadikan rakyat Pulau Pinang lebih maju, lebih aman, lebih sihat dan lebih bahagia menjelang tahun 2030 nanti.

 

Paling disukai adalah aspek keseimbangan gender yang terkandung dalam perincian visi Penang2030 yang mana golongan wanita akan dapat lebih banyak peluang untuk membuat kata putus berbanding sebelum ini.

 

“Malah dalam aspek kebersihan pula, Pulau Pinang kini lebih bersih dan hijau dan mula dikenali dunia, jadi tidak mustahil visi ini akan meletakkan negeri kita sebagai negeri terbaik di Malaysia…bahkan lebih terkenal di mata dunia,” katanya yang turut bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan setempat.

 

MUHAMMAD Shahrizul Muiz Mohamed Nasir (kanan) bersama-sama salah seorang rakannya.

Manakala, bagi Pegawai Perhubungan Kanan kepada Presiden Pertubuhan Anak Yatim Malaysia, MUHAMMAD SHAHRIZUL MUIZ MOHAMED NASIR, beliau melihat banyak perubahan ketara sejak Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan) mengambil alih tampuk pentadbiran pada 2008.

 

“Sebagai seorang yang masih tergolong sebagai seorang belia, yang dilahirkan dan menetap di Pulau Pinang, saya amat berbangga dengan usaha yang diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang terutama dalam merealisasikan visi Penang2030.

 

“Pada saya, visi ini cukup lengkap kerana ia merangkumi semua aspek, daripada pemilikan rumah, kebajikan, kesihatan, pelaburan, menyediakan infrastruktur bagi aktiviti sukan, kesenian dan warisan serta penawaran peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.

 

“(Dan) saya juga percaya bahawa visi ini bukanlah suatu usaha yang harus dijayakan oleh Kerajaan Negeri sahaja, tetapi juga semua rakyat Pulau Pinang perlu memainkan peranan masing-masing bagi melengkapkan ekosistemnya.

 

Ayuh, anak muda…sama-sama kita menjayakan wawasan ini, sama-sama kita berganding bahu dan menyumbang kepada negeri tercinta ini,” seru anak muda berusia 27 tahun, yang turut teruja dengan pelbagai pencapaian dikecapi Pulau Pinang kini ke arah sebuah negeri maju yang kondusif.

 

 

S. Paveethiraa.

Menurut S. PAVEETHIRAA, 26, beliau bangga apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil langkah berani dengan memperkenalkan visi Penang2030.

 

“Saya percaya melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri kini bukan sahaja untuk meningkatkan taraf ekonomi, tetapi juga memartabatkan negeri Pulau Pinang secara keseluruhan melalui penggunakan teknologi digital, mempromosikan pelancongan serta pembangunan untuk rakyat.

 

Secara peribadi, saya yakin Ketua Menteri dan barisan kepimpinan negeri akan mengadakan lebih banyak sesi pertemuan dan penerangan dengan rakyat dari masa ke masa bagi memaklumkan mengenai visi ini.

 

“Akhirnya, saya pasti visi Penang2030 akan membawa kemakmuran kepada warga negeri ini,” ulasnya yang bekerja di sektor swasta di sini.

 

LEE Keng Fatt.

Sementara itu, LEE KENG FATT yang turut berkongsi pandangan dengan memberi metafora situasi banjir di negeri ini.

 

Katanya, setiap kali tiba musim hujan, beberapa kawasan akan dilanda banjir dan ada penduduk yang terpaksa dipindahkan.

 

“Situasi ini telah berlaku selama lebih 50 tahun yang lalu, jadi adakah kita akan terus hidup dalam situasi begini untuk 50 tahun akan datang juga?

 

“Pihak berkuasa tempatan kata, Kerajaan Negeri sentiasa siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya situasi tersebut berulang.

 

“(Dan) saya harus memuji usaha Kerajaan Negeri hari ini kerana mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah (banjir) apatah lagi, Pulau Pinang pernah ‘dianaktirikan’ sebelum ini oleh pentadbiran di peringkat Persekutuan terdahulu.

 

“Namun, kebanyakan rakyat tidak ‘nampak’ usaha ini dan hanya mahu Kerajaan Negeri menghentikan segera masalah banjir yang sering dihadapi.

 

“Jadi, saya yakin sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang mampu menangani masalah banjir…oh ya dan lalu lintas di negeri ini, saya yakin matlamat visi Penang2030 telah direalisasikan,” kata Keng Fatt, seorang editor yang berusia 57 tahun.