GEORGE TOWN – Visi Penang2030 yang sudah lima tahun dilancarkan kini mencatatkan pencapaian sebanyak 47 peratus dengan melibatkan pelaksanaan 210 projek dan program sepanjang tempoh tersebut.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sepanjang tempoh tersebut, rakyat telah memberi mandat dan kepercayaan kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan untuk terus menerajui pentadbiran ini.
“Dalam tempoh lima tahun ini juga, kita telah berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pandemik COVID-19 yang menuntut perhatian penuh dalam menangani keperluan kritikal penduduk melalui jalinan kerjasama dengan agensi-agesi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta menyebar luas maklumat yang tepat berhubung pengurusan pandemik di negeri kita.
“Syukur kerana kita mampu bangkit semula dan proses pemulihan pasca pandemik juga berjaya memulihkan pelbagai sektor terjejas sehingga berjaya mencatatkan pencapaian berjumlah 47 peratus daripada jumlah keseluruhan strategik inisiatif Visi Penang2030,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Booklet Penang2030 di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; barisan Exco Kerajaan Negeri; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ahli-ahli Parlimen dan Ketua-ketua jabatan.
Menyorot kembali tanggal 29 Ogos 2018, Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara digagaskan oleh Kon Yeow sebagai satu wawasan pembangunan yang terdiri daripada empat tema utama melibatkan semua rakyat Pulau Pinang iaitu Tema A, meningkatkan daya huni bagi menambah baik kehidupan; Tema B, menaik taraf ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah; Tema C, memperkasakan rakyat bagi meningkatkan penyertaan masyarakat dan Tema D, melabur dalam persekitaran fizikal bagi meningkatkan daya tahan.
Mengulas lanjut, beliau yang juga ADUN Padang Kota menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha serta komitmen untuk merealisasikan Visi Penang2030 dalam tempoh yang berbaki tujuh tahun ini.
“Saya amat yakin barisan kepimpinan Kerajaan Negeri mampu melakukannya sebagaimana yang telah dibuktikan dalam cabaran menempuh pandemik COVID-19 sebelum ini hasil daripada sokongan semua pihak.
“Dalam tempoh lima tahun memperjuangkan pentadbiran berintegriti, kebajikan rakyat, kelengkapan infrastruktur, pembentukan sebuah rantaian ekosistem, kini, kita sedang menerajui teknologi pendigitalan, inisiatif smart city berlandaskan pembangunan sumber insan ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang terus gemilang serta terbilang.
“Kita akan terus bergerak seiringan sebagai sebuah pasukan dalam memartabatkan Pulau Pinang demi merealisasikan Visi Penang2030 yang telah diukir,” ulasnya lanjut.
Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan yakin semua pihak mampu melakukannya demi negeri tercinta dan keharmonian serta kemakmuran yang terjalin kini bakal menjadi medan kepada generasi baru untuk terus membawa Pulau Pinang ke persada antarabangsa dan kemegahan dunia.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Penang2030 boleh layari laman sesawang https://penang2030.com/.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD