Visi Penang2030 dan Pelan Strategik PDC 2030 jadikan PDC setanding organisasi cemerlang – Ketua Menteri

Admin

PANTAI JEREJAK – Bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mahu menjadikan agensi pembangunan negeri itu setanding organisasi cemerlang lain di dunia.

 

Beliau berkata, berpandukan visi Penang2030 dan Pelan Strategik PDC 2030, ia akan membolehkan PDC berkembang pesat seiring dengan pembangunan teknologi serta automasi pintar dunia.

 

“Pelan Strategik PDC 2030 bukan sahaja memberi penekanan kepada pembangunan modal insan tetapi juga menambah baik nilai diri, kemahiran, keupayaan, pengetahuan dan kemampuan kos yang efektif.

 

“(Selain) memberi fokus mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu di negeri ini, pelan ini juga membolehkan PDC meningkatkan aset-aset sedia ada seterusnya menjadi agen pelaksana bagi inisiatif Kerajaan Negeri.

 

“(Dan) apabila nilai kerja dipertingkatkan, ia akan memanfaatkan bukan sahaja pihak pengurusan PDC bahkan Kerajaan Negeri dan rakyat jelata di negeri ini,” ucapnya ketika merasmikan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di Atrium PDC dekat sini tengah hari ini.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; Pengurus Besar PDC, Mohd. Bazid Abd. Kahar; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Sambutan Hari Raya PDC 2019, Nazril Ghulam Hussain serta pengurusan agensi berkenaan.

KETUA Menteri bersama-sama dif kehormat menyempurnakan perasmian sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PDC 2019 tengah hari ini.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi PDC memberitahu bahawa semangat kerja berpasukan yang kukuh ke arah objektif sama adalah amat penting dalam mencapai semua matlamat digariskan.

 

“Saya percaya bahawa untuk merealisasikan visi Penang2030 dan juga Pelan Strategik PDC 2030, komitmen dan kerjasama daripada semua pihak adalah amat diperlukan.

 

“Selain perlu peka terhadap perkembangan Revolusi Industri 4.0 yang sedang diperkatakan seluruh dunia, kedua-dua visi dan pelan ini memerlukan semua pihak bertindak seiring dengan pembangunan pesat dunia.

 

GIMIK perasmian disempurnakan dengan penyerahan utusan khas yang dibawa menaiki basikal tua.

“Ayuh, sama-sama kita berganding bahru, berusaha mempertingkatkan kualiti kerja bagi merealisasikan semua program, projek dan inisiatif yang direncanakan agar rakyat menerima manfaatnya,” serunya yang mahu melihat PDC terus menjadi pemangkin pertumbuhan di Pulau Pinang.

 

Sejurus berucap, Kon Yeow menyempurnakan gimik perasmian majlis sambutan tersebut dan sempat beramah-mesra bersama-sama pengunjung yang turut memeriahkan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri PDC 2019 di sini.

 

Pelbagai juadah istimewa disediakan antaranya nasi minyak, ayam masak merah, sate, ketupat, rendang ayam, bihun sup, kuih-muih, teh tarik dan aiskrim Malaysia.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD