Visi PP dizahirkan melalui penghijauan

Admin
LOGO publisiti program Hijau Kerajaan Negeri.
LOGO publisiti program Hijau Kerajaan Negeri.

GEORGE TOWN – Pelan Induk Kebersihan Pulau Pinang telah dirangka Kerajaan Negeri bagi memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan kualiti alam sekitar dan landskap di setiap kawasan di negeri ini serta pengurusan sisa bahan buangan yang lebih efektif serta efisien.

Selain mengekalkan 3C (cleanliness, crime, congestion) sebagai medium penting dalam pelaksanaannya, pelan tersebut turut mensasarkan pemantapan program-program 3R (recycle, reduce,reuse) termasuk Ops Sinar, Combi dan Pickers. Malah pengurangan penggunaan beg plastik dan politerin akan diperhebatkan serta diimplementasi sebagai habit kepada seluruh warga Pulau Pinang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, pelan tersebut adalah untuk mengubah pemikiran masyarakat tentang kepentingan kebersihan di samping memberi pendedahan melalui program-program pendidikan dan kempen-kempen kesedaran yang dijalankan dari semasa ke semasa.

Pelan Induk Kebersihan ini bakal meningkatkan kesedaran awam, meningkatkan kebersihan dan keindahan di kawasan-kawasan awam dan juga kediaman serta taman-taman perumahan di Pulau Pinang. Malah pelan tersebut juga bakal menjadi polisi yang paling efektif dalam memastikan Pulau Pinang menjadi bandaraya hijau yang bertaraf antarabangsa, menjadi tumpuan kepada para pelancong yang mencintai alam sekitar, menjadi daya tarikan kepada para pelabur yang mengutamakan kehijauan dan juga kepada pencinta alam sekitar serta menjadi tumpuan fauna dan unggas.

Malah setiap kawasan di Pulau Pinang akan dilabelkan mengikut kod warna iaitu merah bagi kawasan kritikal, jingga bagi kawasan amaran dan hijau bagi kawasan yang bebas risiko,” katanya di sini baru-baru ini.