VSEP bantu lepasan SPM peroleh jaminan kerjaya

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: MARK JAMES

GEORGE TOWN – Penang Science Cluster (PSC) baru-baru ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) serta Fourier Technical Consultants (FTC) dalam menyediakan program latihan dan pengajian vokasional, Vocational Skills Employment Program (VSEP) buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini.

Dalam MoU berkenaan, PSC yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ooi Peng Ee manakala SAMENTA diwakili Presidennya, Koay Chiew Guan dan FTC, Prinsipalnya, Pau Kew Chong.

Majlis menandatangani MoU tersebut ditandatangani di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng serta dihadiri barisan Exco Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus.

Guan Eng berkata, MoU itu bertujuan memberi peluang dan ruang untuk lepasan SPM menguasai kepakaran, kemahiran teknikal serta mengembangkan kerjaya pada masa hadapan.

Jelasnya, sejajar dengan visi Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar pintar bertaraf antarabangsa, program VSEP melalui kolaborasi PSC, SAMENTA dan FTC pastinya memberi penekanan terhadap aspek adaptif kemahiran teknikal yang boleh digunapakai dalam memenuhi visi tersebut.

“Pendekatan program latihan dan pengajian vokasional sebegini sebenarnya telah diamalkan di beberapa buah negara maju, misalnya di Jerman, Pulau Pinang melangkah setapak lagi dengan memperkenalkannya di sini.

“Saya berharap agar PSC, SAMENTA dan FTC dapat menarik lebih banyak lagi syarikat-syarikat lain untuk turut serta membangunkan pelan VSEP ini di masa hadapan,” katanya pada sidang media sejurus selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Chiew Guan berkata, buat masa ini, pihaknya cuma menerima kemasukan pelajar lepasan SPM dari keluarga kurang berkemampuan.

“Kita berusaha untuk membantu anak-anak muda yang kurang berkemampuan dan tidak mampu membiayai pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan memberi biasiswa dan juga elaun latihan vokasional.

“Melalui program VSEP ini, pelajar bukan sahaja belajar, tetapi juga mempraktikkan kemahiran yang diajar sehingga menjadi modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang diminati,” jelas beliau.

Maklumat lanjut berkaitan VSEP, layari laman sesawang PSC di http://www.pscpen. com/ atau Facebook di facebook.com/ penangsciencecluster atau emel, admin@ pscpen.com.