GEORGE TOWN – Wad Onkologi Kanak-kanak Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini menerima tiga peralatan perubatan bernilai RM15,000 dari Lions Club Tanjong berupa satu unit ‘Comen Vital Signs Monitor‘ bersama troli dan dua unit ‘top syringe pump‘.
Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Lions Club Tanjong, Dr. C.K. Lim sambil disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.
Soon Siang ketika bercakap kepada pemberita mengalu-alukan mana-mana pihak swasta yang berkemampuan untuk melakukan tanggungjawab sosial korporat dengan menyumbang pada sektor kesihatan awam di negeri ini.
“Sebagai ADUN Kerajaan Negeri saya amat bebesar hati menerima sumbangan seperti ini daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu terutamanya di hospital-hospital kerajaan.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Lions Club Tanjong hari ini dan kalau ada NGO lain yang ingin membantu bolehlah jumpa pengurusan HPP untuk mengetahui apa yang mereka perlukan,” ujar beliau pada Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Perubatan di Wad Onkologi Kanak-kanak HPP di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah HPP, Dr. Ibrahim Tahir N. Anwar dan kakitangan perubatan HPP berkaitan.
Sementara itu, Ibrahim Tahir dalam nada sama turut mengalu-alukan sumbangan pihak NGO kerana ia mampu menampung keperluan HPP.
“Kami di HPP amat berbesar hati menerima sumbangan ini kerana ia masih membantu dari segi fasiliti perubatan di sini.
“Kebanyakkan peralatan memang mencapai kegunaan 80 ke 90 peratus kapasiti jadi dengan adanya sumbangan-sumbangan seperti ini ia lebih meringankan keperluan semasa,” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN