GEORGE TOWN – Wakaf Pulau Pinang (WPP) melancarkan misi kemanusiaan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar negeri Pahang.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, di sini pada 22 Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif WPP, Rosidi Hussain ketika dihubungi memberitahu bahawa bantuan barangan bernilai RM50,000 itu diserahkan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdi Wan Ismail dekat Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh pada Sabtu lalu.
“Barangan seperti Al-Quran wakaf, sejadah wakaf dan rehal wakaf diserahkan kepada Menteri Besar Pahang selaku wakil kerajaan sebelum diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat.
“Bantuan berjumlah RM50,000 ini merupakan hasil sumbangan masyarakat melalui Dana Wakaf Tunai Wakaf Pulau Pinang,” katanya.
Dalam pada itu, Rosidi turut mengalu-alukan sumbangan daripada masyarakat untuk membantu Wakaf Pulau Pinang memenuhi tuntutan ummah terutamanya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pihak WPP mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pewakaf yang telah menyumbang melalui Dana Wakaf Tunai ini,” ujarnya lagi.
Gambar : WAKAF PULAU PINANG