Wakaf Seetee Aisah model cipta sejarah

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

S E B E R A N G J AYA – Pembangunan Pusat Komersial Wakaf Seetee Aisah di Jalan Tun Hussein Onn di sini menjadi model pusat komersial pertama seumpamanya di negara ini yang membabitkan pembangunan tanah wakaf demi kepentingan umat.

Dibangunkan di atas tanah seluas lima hektar, pusat perniagaan tersebut terdiri daripada 27 unit kedai serta rumah teres dua tingkat (76), yang dinamakan sebagai Taman Wakaf Seetee Aisah sempena nama pewakaf, iaitu Seetee Aisah Mahmood.

Pusat komersial serta kediaman yang hanya boleh dimiliki umat Islam berkenaan dibangunkan dengan kerjasama strategik membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINP) selaku pemegang amanah tanah dan pemaju, UDA Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, UDA Land (North) Sdn. Bhd.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Mohd. Salleh Man berkata, pembangunan tanah wakaf terbabit menelan nilai kasar sebanyak RM24 juta.
Sebagai membalas kerjasama strategik itu, katanya, MAINPP bersetuju menerima bangunan perniagaan bernilai RM10.9 juta sebagaimana yang dipersetujui secara bersama-sama dengan pemaju, UDA Holdings Berhad.

Tambah beliau, pusat perniagaan itu akan disewa oleh MAINPP kepada umum, manakala, unit-unit rumah tersebut akan dijual kepada penganut Islam sahaja menggunakan kaedah Al- Ijarah atas alasan hartanah itu dibangunkan di atas tanah wakaf.

“MAINPP berharap akan lebih banyak lagi kerjasama strategik seperti ini dapat dilakukan demi mengembangkan manfaat atas tanah wakaf selain memperluas pemilikan hartanah membabitkan umat Islam di negeri ini,” ujar Mohd. Salleh pada majlis perasmian tersebut, di sini baru-baru ini.

Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Nur Jazlan Mohamed turut berucap pada majlis tersebut sebelum dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim Hussain, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Maktar Shapee (Timbalan Yang Dipertua MAINPP) turut hadir pada majlis tersebut.


Difahamkan, pemilik tanah, Seetee Aisah Mahmooh mewakafkan tanah tersebut pda 30 September 1901 bagi tujuan pertanian dengan sewaan RM400, namun, tidak mencukupi untuk MAINPP melaksanakan amanah pewakaf.

Berikutan itu, MAINPP mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan UDA Holdings Berhad bagi membangunkan manfaat atastanah tersbeut secara komersial.


“Kita di peringkat MAINPP berharap lebih ramai lagi umat Islam dapat mewakafkan tanah demi pembangunan manfaat umat.

“MAINPP juga memandangharta wakaf sangat penting dalam membangunkan ekonomi umat Islam dengan melancarkan semula Dana Wakaf Tunai dengan kadar minimum RM5 supaya dapat digunakan untuk faedah orang Islam,” kata Mohd Salleh.

NUR Jazlan Mohamed (dua dari kanan) menyerahkan replika Pusat Peniagaan Wakaf Seetee Aisah kepada Mohd. Salleh Man (dua dari kiri) sambil diperhatikan Abdul Rahman Abbas (tengah) pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Pusat Komersial Wakaf Seetee Aisah di sini baru-baru ini.
NUR Jazlan Mohamed (dua dari kanan) menyerahkan replika Pusat Peniagaan Wakaf Seetee Aisah
kepada Mohd. Salleh Man (dua dari kiri) sambil diperhatikan Abdul Rahman Abbas (tengah) pada
Majlis Perasmian dan Penyerahan Pusat Komersial Wakaf Seetee Aisah di sini baru-baru ini.