Wakil pejabat Ketua Menteri agih 5,000 pek bantuan sayur-sayuran

Admin
TEH Lai Heng (depan, kiri) bersama-sama Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (depan, kanan) turut mengambil bahagian memunggah naik bungkusan sayur-sayuran ke dalam lori di sini, untuk diedarkan kepada beberapa pihak pada pagi tadi.

BERTAM – Sebanyak 5,000 pek sayur-sayuran seberat lebih 15 tan matrik mula diagihkan kepada penduduk lokal sekitar Seberang Perai serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan di negeri ini.

TEH Lai Heng

Bercakap kepada pemberita, Teh Lai Heng yang merupakan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata bahawa pihaknya berharap program bantuan segera itu dapat meringankan lagi beban penerima terutama mereka yang terjejas dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya lagi, edaran bekalan sayur-sayuran akan dilaksanakan secara pandu lalu dan dengan menggunakan lori.

“Saya berasa program ini amat bermakna kerana turut melibatkan kerjasama dengan persatuan pekebun sayur di Pulau Pinang.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

“Mewakili Ketua Menteri (Y.A.B. Tuan Chow Kon Yoew), saya ingin merakamkan perhargaan kepada para penaja dan penyumbang serta pekerja-pekerja yang terlibat dalam mengagihkan pek sayur-sayuran ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar dalam acara ringkas di Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng dekat Jalan Satu di sini pada 1 Ogos 2021.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I merangkap ADUN Pinang Tunggal, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi.

Pada sidang media sama, Hock Peng memberitahu bahawa pejabatnya akan sesegera mungkin mengedarkan pek sayuran tersebut dengan bantuan 38 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) peringkat lokal.

LAY Hock Peng

Malah, menurutnya lagi, para penduduk sekitar Kawasan Parlimen Kepala Batas turut dialu-alukan untuk mengambil bekalan pek sayur-sayuran yang diperlukan di Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, secara pandu lalu.

“Setiap bungkusan ini adalah kira-kira 3 kilogram (kg), kita juga menyediakan bekalan 15,000 keping pelitup muka dan 10,000 bungkusan biskut yang mungkin diperlukan oleh penduduk juga,” jelasnya lagi.

Difahamkan, bekalan sayur-sayuran tersebut diperoleh menerusi para pekebun dari tanah tinggi Cameron dekat negeri Pahang, serta beberapa kawasan lain.

Mengulas lanjut, Hock Peng berkata bahawa seramai 70 operator terlibat dalam kerja-kerja membungkus pek sayur-sayuran pada hari ini.

“Seramai 70 orang terlibat membantu untuk kerja-kerja membungkus sayur-sayuran segar ini serta mewujudkan pusat edaran di sini, supaya semua bekalan bantuan dapat diedar dalam masa yang singkat.

“Untuk memastikan tidak ada perkara yang tak diingini berlaku, semua kendaraan yang datang mengambil sayur turut disanitasi.

“Penduduk boleh datang ke sini untuk mengambil pek sayur-sayuran yang diperlukan secara pandu lalu juga,” katanya.

AGIHAN bungkusan bantuan sayur-sayuran secara pandu lalu.
BEKALAN sayur-sayuran yang siap dibungkus dan tunggu proses pengantaran.

Di samping itu, beliau menjelaskan pihaknya turut mengedarkan bekalan bantuan sayur-sayuran ke Pejabat Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, Balai Bomba Kepala Batas, Penang Shan Children’s Home, Children’s Protection Society, Ru Yi Home, Pertubuhan Kebajikan Da Zhi Jiang Tang dan beberapa pihak lagi.

Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur Pulau Pinang, Ng Lean Hooi yang ditemui kemudian berkata, kolaborasi pelbagai pihak dalam menganjurkan program agihan bekalan sayur-sayuran sekali gus membantu para pekebun yang terlibat.

“Semua pihak sedia maklum bahawa pandemik telah menjejaskan hampir semua sektor (ekonomi), namun, kita (para pekebun) turut mahu membantu mana-mana pihak yang terjejas dan memerlukan bantuan.

“Sayur-sayuran yang kita sumbangkan ini termasuk timun, kacang panjang, labu air, bendi dan sebagainya,” ujarnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUAHAMD