Waktu bekerja penjawat awam Pulau Pinang pada Jumaat kekal

Admin
ed11ace8 3cba 4d6c 98a3 d7439949f020

GEORGE TOWN – Waktu bekerja bagi penjawat awam negeri Pulau Pinang pada hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan adalah kekal seperti biasa.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa perkara itu telah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang berlangsung hari ini.

 

 

Katanya, dengan waktu fleksibel  yang diguna pakai untuk semua penjawat awam ketika ini dilihat sudah memadai.

 

 

“Berhubung Pulau Pinang akan ikut negeri Pahang yang mana penjawat awam akan habiskan waktu kerja tengah hari pada hari Jumaat, mesyuarat MMK putuskan kekal dengan apa yang ada.

 

 

“Sebab sekarang pun sudah mengamalkan waktu fleksibel, pukul 4 petang sudah boleh balik setiap hari,” ujar Kon Yeow ketika menjawab soalan pemberita pada Majlis Berbuka Puasa & Solat Tarawih Majlis Kapitan Keling.

 

 

Majlis berbuka puasa itu diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai tetamu kehormat.

 

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Roshidi Zinol; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Ir. A. Rajendran; Presiden Liga Muslim, Datuk Haja Najmudeen Kader serta dif-dif jemputan yang lain.

 

 

Difahamkan kira-kira 450 orang hadir memeriahkan majlis berbuka puasa dengan pemimpin nombor satu Pulau Pinang itu.

 


Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar&Video : DARWINA MOHD. DAUD