Waktu daftar masuk kebanyakan hotel di Pulau Pinang pada 3 petang

whatsapp image 2024 10 02 at 17.13.30

GEORGE TOWN – Waktu mendaftar masuk tetamu bagi kebanyakan hotel di Pulau Pinang adalah pada jam 3 petang, manakala daftar keluar pula pada jam 12 tengah hari, kata Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Dato’ Tony Goh Nai Heng.

Beliau berkata, pihak hotel biasanya memerlukan masa kira-kira satu jam setengah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan bilik sebaik sahaja tetamu mendaftar keluar.

“Namun, ia bergantung kepada keadaan di setiap hotel seperti jumlah bilik yang tersedia, bilangan kakitangan pembersihan sama ada mencukupi atau tidak serta lain-lain aspek.

“Bagi menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan, pihak hotel berusaha melakukan yang terbaik terutamanya dari aspek kebersihan dan ain-lain dalam tempoh masa yang agak terhad, dengan sumber yang mereka ada,” katanya kepada Buletin Mutiara.

tony goh
Tony Goh Nai Heng.

Menyentuh mengenai perbincangan hangat di media sosial mengenai peraturan daftar masuk hotel pada pukul 4 petang yang disifatkan sebagai tidak adil kepada pengguna, beliau percaya bahawa perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu.

“Sebenarnya tidak wujud istilah adil atau tidak kerana pihak hotel telah menyenaraikan terma dan syarat kepada pelanggan sebelum mereka membuat tempatan bilik hotel.

“Oleh itu, pelanggan boleh memutuskan sama ada mahu menempah bilik hotel atau tidak, dengan terma dan syarat yang telah dinyatakan secara terperinci oleh pihak hotel termasuk waktu daftar masuk dan keluar,” ujarnya.

Beliau berkata, penyenaraian terma dan syarat tersebut adalah penting untuk melindungi kepentingan kedua-dua belah pihak (hotel dan pelanggan).

“Dengan menetapkan masa daftar masuk dan daftar juga akan memudahkan pelanggan untuk merancang jadual perjalanan mereka,” ujarnya.

Tony Goh berkata, walaupun waktu daftar masuk dan keluar telah ditetapkan, namun kebanyakan hotel di negara ini boleh dikatakan agak fleksibel.

“Sekiranya tetamu tiba lebih awal dan bilik hotel sudah tersedia pada masa itu, kebiasaannya pihak hotel akan membenarkan tetamu mendaftar masuk lebih awal.

“Berbanding dengan luar negara, sebenarnya hotel di negara kita sangat fleksibel.

“Di hotel luar negara, walaupun tetamu tiba lebih awal dan sudah ada bilik disediakan, mereka masih perlu menunggu sehingga waktu daftar masuk yang ditetapkan,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut menekankan bahawa industri perhotelan adalah perniagaan berasaskan kepada penyediaan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Setiap hotel sudah semestinya mengharapkan tetamu mendapat pengalaman terbaik semasa menginap di hotel mereka.

“Justeru, sekiranya pihak hotel gagal menyediakan bilik sepertimana yang ditetapkan atas beberapa faktor, pihak pengurusan sepatutnya memberikan layanan terbaik sebagai timbal balik.

“Ini termasuk menawarkan bilik hotel yang lebih mahal atau menyediakan sarapan pagi secara percuma kepada pelanggan mereka,” serunya.

Terdahulu, tular tindakan segelintir pihak hotel yang menetapkan waktu daftar masuk premis mereka bermula pada 4 petang, manakala keluar pula seawal 11 pagi.

Tindakan tersebut telah mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen dengan rata-rata mereka meluahkan rasa tidak adil bagi pelanggan kerana tempoh penginapan agak singkat.

Susulan itu, ementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan isu waktu daftar masuk dan daftar keluar hotel seperti yang tular di media.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI