Walaupun tarif air naik, masih terendah di Malaysia

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kenaikan tarif air dilihat mampu menjadi kaedah berkesan memastikan rakyat Pulau Pinang lebih berjimat cermat dalam penggunaan harian.

Inisiatif tersebut adalah ekoran gejala pembaziran penggunaan air dalam kalangan rakyat Pulau Pinang dipercayai berpunca daripada tarif air yang rendah iaitu 31 sen setiap 1,000 liter bagi 35,000 liter penggunaan setiap bulan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri sedaya upaya mengekalkan tarif air yang rendah, sehinggakan subsidi air domestik PBAPP mencecah RM68.6 juta pada tahun 2013.

“Kita perlu mengurangkan penggunaan air domestik per kapita kerana Pulau Pinang kini mencatat purata 311 leter per kapita setiap hari iaitu 50 peratus lebih tinggi berbanding purata negara iaitu 212 liter per kapita.

“Ini bermakna, sekiranya musim kemarau berpanjangan, risiko catuan air di Pulau Pinang adalah lebih tinggi berbanding mana-mana negeri di Malaysia kerana Pulau Pinang mencatat purata penggunaan air yang tinggi per kapita setiap hari,” ucapnya ketika merasmikan sambutan Hari Air Sedunia 2014 di Taman Kuari di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut, Keretapi), Lim Hock Seng, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bungah, Cheah Kah Peng dan Presiden Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang, Prof. Chan Ngai Weng.

Tambah beliau, walaupun penggunaan air per kapita semakin meningkat sejak 2008, namun tarif masih lagi rendah rentetan subsidi air domestik oleh PBAPP.

“Malah, PBAPP dan Kerajaan Negeri telah mencuba pelbagai cara untuk menggalakkan warga Pulau Pinang menggunakan air dengan bijak, antaranya pelaksanaan Surcaj Pemuliharaan Air (Water Conservation Surcharge – WCS), pendidikan melalui laporan berita, siaran laman sesawang, iklan, penerbitan dan acara-acara khas, namun, penggunaan air per kapita terus meningkat.

“Maka, adalah bertepatan sekiranya PBAPP mencadangkan agar tarif air di Pulau Pinang dikaji semula memandangkan kali terakhir caj minimum tarif penggunaan disemak adalah pada 1993.

“Walaupun, kemungkinan tarif dinaikkan, Kerajaan Negeri akan memastikan tarif penggunaan air domestik untuk 35,000 liter pertama setiap bulan masih lagi terendah di Malaysia dan ini adalah kepastian yang tidak boleh dirunding lagi,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi PBAPP.

Tegas Guan Eng bahawa kenaikan tarif turut mengambil kira golongan berpendapatan rendah dan mereka yang mempunyai anggota keluarga yang ramai (lapan orang dan ke atas) dengan menawarkan sehingga 60 peratus diskaun bagi WCS bermula 1 Mei lalu.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar warga Pulau Pinang mula mengamalkan langkah-langkah penjimatan air yang berkesan dan menggunakan air dengan bijak bagi mengelak pembaziran dan kemungkinan catuan air pada masa hadapan.

“Catuan air mungkin tidak dapat dielakkan sekiranya penduduk Pulau Pinang terus menggunakan air 311 liter per kapita setiap hari,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengurus Besar PBAPP, Ir. Jaseni Maidinsa berkata, berdasarkan cadangan kenaikan tarif air domestik, tarif air bagi kira-kira 500,000 pengguna air berdaftar akan disemak semula.

“Cadangan kenaikan pada kadar purata 20 peratus bagi pengguna domestik adalah sebagai langkah mempromosikan penjimatan air dalam usaha mengelakkan catuan air pada masa hadapan,’’ ujar beliau.