Walimatulurus Perdana 3.0 Balik Pulau ringankan beban pasangan pengantin – ADUN

Admin

PULAU BETONG – Program Walimatulurus Perdana 3.0 Balik Pulau yang dianjurkan baru-baru ini menjadi pemudah cara bagi 10 pasangan pengantin melangsungkan perkahwinan.

Majlis tersebut merupakan anjuran bersama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Betong, Pusat Khidmat Parlimen Pulau Betong dan Masjid An-Nur Titi Teras.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail berkata penganjuran program berkenaan adalah bertujuan mempercepatkan proses ijab dan kabul (akad nikah) bagi setiap pasangan.

Tambahnya, program itu juga membantu meringankan beban kewangan pasangan pengantin selain memberikan perkhidmatan terbaik dalam menyempurnakan majlis walimatulurus.

“Pihak penganjur cuma mengenakan bayaran RM3,000 bagi setiap pasangan dan mereka boleh menjumput 500 orang tetamu untuk hadir ke majlis ini.

“Selain itu, kita juga menyediakan khidmat jurugambar, album bergambar, makan beradab, sambutan kompang dan sebagainya… ibu bapa pengantin cuma perlu menyambut tetamu, itulah antara pemudah cara yang disediakan oleh penganjur,” ujar beliau ketika ditemui Buletin Mutiara baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman serta Ahli Parlimen Balik Pulau merangkap Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Mengulas lanjut, Mohd. Tuah tidak menolak kemungkinan akan meneruskan majlis tersebut pada tahun 2021 dengan beberapa penambahbaikan.

“Kita bercadang untuk buka tawaran kepada anak muda yang ingin mendirikan rumah tangga sekitar Pulau Pinang ini… dan kita juga cuba buka kepada mana-mana KADUN (kawasan Dewan Undangan Negeri) atau Parlimen yang ingin mengadakan majlis walimatulurus perdana ini, kita sedia membantu,” jelasnya lagi.

Difahamkan, kira-kira 5,000 tetamu hadir memeriahkan majlis tersebut yang berlangsung dekat Masjid An-Nur Titi Teras, di sini.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN