MENJADI pelajar cemerlang di bumi Eropah bukanlah suatu perkara mudah, kerana ia menuntut kesungguhan serta usaha yang kuat dan gigih.
Namun perkara tersebut berjaya digapai oleh figura kelahiran Sungai Nibong, Pulau Pinang, WAN NUR ADLINA WAN HALIM, 24, pelajar cemerlang Ijazah Sarjana (Master) Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, University of Manchester, United Kingdom.
Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar LAW SUUN TING sempat bertemu Wan Nur Adlina yang baru tiba di tanah air setelah selesai majlis graduasi di Manchester.
Berkelana selama empat tahun di sana, Wan Nur Adlina mencapai kecemerlangan dek minat yang begitu mendalam terhadal bidang elektrik dan elektronik.
“Saya baru menamatkan pengajian pada Julai lalu, dengan skor 82/100 Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) daripada tahun satu hingga empat.
“Keputusan tersebut melayakkan saya menjadi pelajar kedua terbaik dalam ‘batch’ saya,” ujarnya memulakan bicara.
Mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Green Lane, Wan Nur Adlina memberitahu bahawa minat dalam bidang kejuruteraan elektrik itu hadir ketika beliau berada pada Tingkatan 4 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping.
“Ketika itu, saya berjaya memperoleh pingat gangsa dalam pertandingan I- SWEEEP yang diadakan di Texas, Amerika Syarikat.
“Projek yang diketengahkan adalah ‘magnetic generator’ yang menggunakan magnet sebagai penghasilan tenaga elektrik yang juga disifatkan sebagai peranti tenaga hijau.
“Jadi dari situ datangnya minat saya apabila saya berjaya memenangi pingat gangsa dalam pertandingan tersebut.
“Saya tidak perlu membawa peralatan tersebut ke Texas saya cuma perlu bentangkan kepada juri dan menerangkan konsep ‘magnetic generator’ itu,” jelasnya yang juga cemerlang dalam keputusan A Level.
Mengulas mengenai cabaran di University of Manchester, Wan Nur Adlina berkata beliau masih terkenang ketika menjejak kaki ke sana.
“Waktu itu, satu dunia masih dilanda pandemik COVID-19 dan cuma belajar secara dalam talian yang agak membosankan kerana tidak dapat bertemu kenalan dan rakan kelas secara fizikal.
“Masuk semester kedua kami dikehendaki mencipta ‘buggy’, dari situ pelbagai kemahiran perlu dipraktikkan seperti ‘coding’, sensor dan sebagainya menjadikan saya lebih berminat dalam bidang ini.
“Masuk semester tiga ada projek individu sebelum menamatkan tahun keempat pengajian di University of Manchester dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana.
“Antara yang boleh saya kongsi untuk berjaya adalah fokus dalam kelas itu sendiri, kalau tidak faham kita tanya, atau emel kepada pensyarah tersebut, selain itu bincang bersama kawan-kawan lain, tidak ada jalan pintas,” cerita pelajar yang mendapat penajaan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu.
Kini, Wan Nur Adlina giat mencari peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan terutamanya di syarikat-syarikat multinasional.
Tanpa berselindung, gadis kecil ini sememangnya mahu menabur bakti di Pulau Pinang.
“Kalau boleh memang nak kerja di Pulau Pinang sebab dekat dengan keluarga, tetapi kalau ada peluang di luar Pulau Pinang yang bersesuaian mungkin tidak akan menolak.
“Cukuplah empat tahun di luar negara, masa untuk menabur bakti di tempat sendiri pula,” kata anak ketiga dari tiga beradik itu.
Dua lagi kakaknya turut cemerlang dalam bidang perubatan dan kejuruteraan perisian.
Ditanya mengenai situasi ‘brain drain’, Wan Nur Adlina mengakui faham tentang mengapa isu tersebut berlaku dan tidak menyalahkan mana-mana pihak.
“Saya faham tentang kelebihan yang akan kita terima sekiranya bekerja di luar negara terutamanya di Eropah.
“Sistem pengajian yang lebih baik, ‘work life balance’ dan macam-macam lagi, cuma apa yang mereka (Eropah) tidak boleh lawan adalah makanan, bab makan kita menang,” seloroh Wan Nur Adlina.
Sebelum menutup bicara, Wan Nur Adlina sempat menitipkan beberapa pesanan dalam menggapai kecemerlangan termasuk menarik minat pelajar dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
“Buat yang terbaik dalam apa sahaja bidang yang kita lakukan, sebab apabila kita buat yang terbaik kita tidak akan menyesal dengan hasilnya dan ‘boleh tidur dengan lena’.
“Untuk menarik minat pelajar memasuki bidang STEM, pihak berwajib perlu lebihkan hal berkaitan praktikal, kerana praktikal akan bantu pelajar lebih faham dan minat berbanding teori semata-mata,” katanya.