GEORGE TOWN – Pasukan bola sepak Penang FC secara rasminya melantik Wan Rohaimi Wan Ismail sebagai Ketua Jurulatih baharu bagi mengharungi baki saingan musim 2024-2025.
Perkara tersebut diumumkan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen di Komtar pagi tadi.
Zi Sen percaya pengalaman luas Wan Rohaimi sebagai pemain dan jurulatih mampu membawa Penang FC ke arah lebih baik selepas menduduki tangga ke 11 saingan Liga Super daripada 13 pasukan bertanding.
“Beliau pernah beraksi sebagai pemain profesional selama 15 tahun, mewakili pelbagai kelab utama di Malysia dan meraih pebih 40 cap kebangsaan.
“Pengalaman antarabangsa beliau merangkumi kejohanan seperti Sukan SEA, Kelayakan Piala Dunia, dan Tiger Cup yang mana beliau memberi sumbangan penting kepada pasukan negara.
“Pada tahun 2003, beliau juga mencatat pencapaian gemilang dengan memenangi Piala Sumbangsih bersama pasukan Pulau Pinang,” ujar Zi Sen kepada pemberita.
Hadir sama, Pengurusan Besar Penang FC, Jeffrey Chew Gim Eam dan Pengarah Teknikal Penang FC, Merzagua Abderrazak.
Selepas bersara sebagai pemain, Wan Rohaimi menceburi bidang kejurulatihan dan telah membimbing pelbagai pasukan termasuk Tumpat FA, skuad pembangunan NFDP, Perlis U19, dan Penang U21.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Jurulatih PDRM FC serta Penolong Ketua Jurulatih KL City FC dalam Liga super.
“Pengalaman luas ini memberi beliau kelebihan dalam mengendalikan pasukan di pelbagai peringkat dan memastikan pemain mencapai potensi tertinggi.
“Dengan pelantikan ini, Penang FC yakin bahawa Wan Rohaimi akan membawa visi dan strategi baharu yang bakal memperkukuhkan pasukan dan meningkatkan kedudukan Penang FC dalam Liga Super Malaysia, para penyokong diharap akan terus memberikan sokongan kepada pasukan di bawah kendalian jurulatih baharu ini,” maklum Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
Wan Rohaimi dalam pada itu tidak mahu menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada para penyokong Penang FC sebaliknya fokus kepada menambah baik pasukan serta perbaiki kedudukan.
“Perlawanan pertama saya 21 November ini (Piala Malaysia) anda boleh lihat perubahan yang akan saya bawa.
“Penang FC ini ada ‘material’, cuma mungkin belum keluar, jadi tugas saya perlu cari kualiti yang hilang, seminggu sebelum perlawanan saya harap banyak sesi nak terapkan cara permainan saya,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD DAUD