MAMPUKAH Penang FC beraksi lebih cemerlang semasa aksi menentang Kuching FC dalam saingan Piala Malaysia pada 21 November ini bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga?
Tugas penting itu bukan sahaja akan dipikul oleh para pemain Skuad Harimau Kumbang, malah di atas bahu Wan Rohaimi Wan Ismail selaku Ketua Jurulatih baharu Penang FC.
Semasa wawancara di Komtar pada 15 November 2024, Wan Rohaimi, 48, berkata dalam tempoh kira-kira seminggu sebelum perlawanan, beliau cuba menajamkan aspek ‘pemikiran pemain’ dalam kalangan anak buahnya.
“Yang boleh saya janjikan dalam aksi perlawanan sulung saya (sebagai Ketua Jurulatih Skuad Harimau Kumbang) ini dari seri corak perlawanan yang lain dari lain.
“Bola sepak, kita nampak anggota badan yang menggerakkan bola (tetapi) sebenarnya segala pergerakan itu dikawal oleh otak.
“Tugas sebagai jurulatih antaranya adalah menjana ‘pemikiran pemain’ iaitu pemain yang mampu membuat keputusan yang tepat dalam masa yang sukar semasa perlawanan,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR dan jurugambar, ALISSALA THIAN.
Untuk menjana ‘pemikiran pemain’, Wan Rohaimi berkata masa yang paling sesuai adalah beberapa hari sebelum menghadapi satu-satu pasukan lawan.
“Sesi latihan yang bagus, bagi saya, adalah paling hampir dengan satu-satu perlawanan.
“Bagi corak pelawanan sebegini, corak latihan mestilah sebegini dan sebegini, ini yang dinamakan ‘pemikiran pemain’ supaya menjadi kebiasaan yang positif buat pemain semasa beraksi di padang kelak.
“Maksudnya, corak latihan, rentak dan sebagainya tidak sama… bergantung pada pasukan lawan yang akan dihadapi sebab perlawanan dalam Liga Super ini adalah peringkat tinggi negara,” jelasnya sambil berkata Penang FC ada kelebihan kerana turut dibantu oleh Pengarah Teknikal, Merzagua Abderrazak.
Difahamkan, Wan Rohaimi diumumkan sebagai Ketua Jurulatih Penang FC yang baharu bagi menggantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang direhatkan sejak beberapa minggu.
Keputusan besar itu diumumkan oleh Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen yang juga Pengerusi Penang FC kepada pemberita, semalam.
Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew dan Merzagua turut sertai sidang media di Komtar tersebut.
Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkenaan antara lain berkata pelantikan Wan Rohaimi adalah kerana pengalamannya dalam membentuk pemikiran pemain.
“Wan Rohaimi pernah beraksi sebagai pemain professional selama lebih 15 tahun, mewakili pelbagai kelab utama di Malaysia serta meraih lebih 40 cap kebangsaan.
“Beliau terkenal dengan pendekatan yang membentuk pemain berfikir dan mengutamakan kecergasan fizikal,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, Wan Rohaimi mengaku bahawa ketika ini beliau menggalas tanggungjawab yang diberikan iaitu demi memperbaiki kedudukan kelab dalam menghadapi baki perlawanan hingga hujung musim Liga Super 2024/2025.
“Kalau cerita mengenai tekanan ini, di mana-mana pun ada tekanan… dalam kehidupan ini apabila kita buka mata sahaja, memang ada tekanan tambah-tambah lagi dalam bola sepak yang memang ada banyak tekanan.
“Kena hadap, insyaAllah.
“Kontrak saya (sebagai Ketua Jurulatih Skuad Harimau Kumbang) pun selama enam bulan, jadi fokus saya satu perlawanan demi satu perlawanan.
“InsyaAllah, saya ada masa tak sampai seminggu, esok perlawanan persahabatan antara Penang FC dengan KDA, di situ juga saya dapat menilai dan membuat pilihan barisan terkuat bagi menghadapi perlawanan di Kuching nanti.
“Posisi pemain tidak juga akan dikekalkan, mungkin akan ada pertukaran posisi, jika diperlukan,” jelasnya.
Pun begitu, Wan Rohaimi memberitahu bahawa Penang FC akan terus memberi tumpuan pada kekuatan dan kelebihan yang pasukannya ada, semasa menghadapi Kuching FC nanti.
“Semasa bersama-sama Pasukan KL City FC (selaku Penolong Ketua Jurulatih), ada tiga kali (siri perlawanan) bertemu Kuching FC, maka, ia menjadi sedikit kelebihan untuk saya mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan lawan.
“Saya yakin dan optimis, Penang (FC) boleh buat sesuatu.
“Penilaian saya selepas tamat sesi latihan semalam, Penang FC ada kekuatan, mungkin belum keluar lagi aksi mereka secara maksimum.
“Menjadi tugas saya mengeluarkan kemampuan kekuatan yang pasukan ini ada… tugas saya adalah membawa pasukan ke tahap yang lebih baik (dalam carta liga) sedia ada dengan (syarat) tiada penambahan dari segi pemain,” jelasnya.
Justeru, beliau berkata, tidak dapat tidak Penang FC perlu memanfaatkan kesemua lima baki perlawanan bagi memperbaiki kedudukan carta dalam musim saingan pada kali ini.
Penang FC ketika ini berada pada tangga kesebelas saingan Liga Super dengan hanya mampu merekodkan dua kemenangan, lima keputusan seri serta tujuh rekod kekalahan, selepas mengharungi 14 perlawanan liga.