Wanita perlu lebih agresif bantu kurangkan jurang gender, seru Chong Eng

Admin
CHONG Eng

GEORGE TOWN – Lebih ramai pemimpin wanita sebagai barisan pembuat dasar diperlukan di negeri ini demi memastikan usaha kesaksamaan gender di peringkat tempatan mahupun antarabangsa dapat dicapai.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan bahawa Skor Indeks Jurang Gender Malaysia dalam pemerkasaan politik adalah besar iaitu 0.108 yang mana skor 1.0 adalah kesamarataan.

Mengulas lanjut, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata bahawa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sendiri menyaksikan perwakilan wanita ketika ini adalah kira-kira 14.9 peratus sahaja berbanding lelaki.

“Di peringkat antarabangsa, mengikut Kesatuan Antara Parlimen (Inter-Parliamentary Union) yang mengukur perwakilan wanita dalam parlimen di seluruh dunia, Malaysia berada di tangga ke-140 daripada 182 negara.

“Kita perlu lebih banyak platform dan peluang untuk membawa pemimpin wanita ke peringkat pembuat keputusan, baik di Dewan Rakyat mahu pun di DUN.

“(Justeru, usaha merapatkan jurang gender) ini adalah aspirasi mutakhir program Sidang Wanita Pulau Pinang 2021,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang dalam sidang media pengumuman program tersebut secara dalam talian di sini pada 13 Julai 2021.

ANTARA yang mengikuti telesidang pengumuman Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 pagi ini.
LIM Siew Khim

Turut berucap ialah ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Petugas Sidang Wanita Pulau Pinang 2021.

ADUN Pulau Tikus, Lee Chun Kit; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng turut sertai telesidang tersebut.

Hadir sama, beberapa Ahli Jawatankuasa bagi agensi negeri berkenaan seperti Dato’ Azhar Arshad, Dato’ Rohana Abdul Ghani, Dato’ Dr. Florance Sinniah, Dr. Wong Lai Yong, Krista Goon Phooi Kheng, dan Nurfarah Zafirah Foo Abdullah.

Difahamkan, kali pertama PWDC menganjurkan persidangan wanita seumpama itu adalah pada tahun 2020 dengan pemmohonan penyertaan lebih 400 individu yang mewakili pelbagai lokaliti di seluruh negeri ini.

Kemuncak persidangan sulung semasa itu adalah 40 perwakilan wanita terpilih menyertai persidangan ala DUN Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang di sini, dengan Speaker Dewan Dato’ Law Choo Kiang sendiri mempengerusikan sesi perbahasan tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING