Wanita perlu perkasakan kesaksamaan gender, menjadi suara penting dalam masyarakat, seru Chong Eng

Admin
CHONG Eng (duduk tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama para peserta dan kepimpinan PSWM dan KANITA dekat USM pagi tadi.

BATU UBAN – Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng, menyeru golongan wanita untuk memperkasakan diri masing-masing dalam mencapai kesaksamaan gender.

 

Jelasnya, masih terdapat golongan wanita di luar seakan-akan kurang arif tentang kesaksamaan gender yang perlu diperkasakan agar pandangan wanita diambil kira.

 

“Mengambil contoh diri sendiri, sebenarnya saya masuk ke arena politik ini adalah berhasrat untuk merapatkan jurang perbezaan di antara lelaki dan wanita… dan sehingga kini saya masih ‘berlawan’ bagi isu-isu tersebut.

 

“Jika kita inginkan perubahan tentang hal ini, kita juga perlu membentuknya dari asas, wanita perlu diperkasakan dengan memberi kesedaran bahawa kita ada kesaksamaan dan menjadi suara penting dalam masyarakat di Malaysia,” ujar beliau ketika berucap merasmikan Seminar Ke Arah Zaman Keemasan Yang Gemilang anjuran Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM) dan Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) Universiti Sains Malaysia (USM) pagi tadi.

 

Hadir sama, Yang diPertua PSWM, Datin Fauziah Mohd. Ramly dan Pengarah KANITA USM, Prof. Dr. Noraida Endut.

 

Jelas Chong Eng lagi, beliau berhasrat untuk bertemu dan berbincang dengan kepimpinan di peringkat Pusat agar dapat kiranya satu pengiktirafan khas diberikan kepada suri rumah di Malaysia berikutan jasa besar golongan berkenaan dalam membentuk sahsiah sesebuah keluarga.

 

“Golongan suri rumah tidak patut dipandang rendah, sebenarnya golongan ini memberi sumbangan nilai ekonomi dalam bentuk sosial kepada institusi kemasyarakatan hari ini, jadi mereka wajar menerima pengiktirafan dari kerajaan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Lalang.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN