Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN
SEBERANG JAYA – Seramai 3,600 warga emas menerima sumbangan RM100 melalui Program Penghargaan Warga Emas buat tahun ketiga di sini baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, berbeza dengan sebelum ini, Kerajaan Negeri kini telah mengemaskini proses penerimaan sumbangan dengan membenarkan wakil untuk membuat tuntutan bagi pihak penama.
“Ini bermakna, penerima sumbangan boleh mewakilkan kepada waris atau keluarga terdekat untuk mengambil sumbangan wang tunai dengan mengisi borang khas serta menyertakan salinan kad pengenalan wakil berkenaan.
“Umumnya, proses tersebut bakal memberi kemudahan kepada warga emas yang uzur serta menghadapi kesukaran untuk membuat tuntutan,’’ katanya ketika membuat pemantauan proses pembayaran sumbangan di Maybank Seberang Jaya di sini baru-baru ini.
Tambah Dr. Afif, tuntutan sumbangan Program Warga Emas hanya dilakukan di kaunter Maybank pada 18 hingga 19 Mei lalu. “Selepas tarikh tersebut, tuntutan boleh dibuat di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) sehingga 7 Jun ini,’’ ujar beliau.