Warga kerja PDC digesa gembleng tenaga depani cabaran 2020

Admin

PANTAI JEREJAK – Seluruh warga kerja Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) digesa menggembleng tenaga bersama-sama sebagai satu pasukan bagi menangani cabaran yang lebih besar tahun ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kerjasama di antara semua pasukan pengurusan dan warga kerja yang proaktif, cergas serta aktif akan membolehkan PDC bersedia mendepani apa jua cabaran sepanjang tahun 2020.

“PDC baru saja meraikan sambutan ulang tahun ke-50, pada tahun baru ini, saya menggesa semua pihak di PDC untuk lebih proaktif dan bersama-sama bergerak sebagai satu pasukan.

“Semua pihak perlu bersatu dalam menangani apa jua cabaran supaya kita (PDC) dapat melaksanakan yang terbaik sepanjang tahun 2020.

“Apa yang PDC lakukan tahun ini akan menjadi landasan kukuh bagi kemajuan serta pencapaian yang lebih baik untuk tempoh 10 tahun akan datang,” ujarnya yang juga Pengerusi PDC sempena Majlis Sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru 2020 anjuran perbadanan berkenaan di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar); Chong Eng (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam) dan Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar (Pengurus Besar PDC).

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menjelaskan bahawa tanpa landasan yang kukuh, kemungkinan PDC tidak dapat memaksimumkan sepenuhnya keupayaan sebagai sebuah agensi pembangunan di negeri Pulau Pinang.

“Saya yakin melalui Pelan Strategik PDC yang telah diperincikan selama setahun ini, ia akan memainkan peranan penting dan signifikan untuk merealisasikan pelan-pelan tindakan yang telah digariskan,” jelasnya.

Serentak itu, Kon Yeow memberitahu bahawa sebagai meneruskan tradisi sambutan perayaan dan tahun baru tersebut, PDC turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan menyalurkan sejumlah peruntukan kepada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini.

Persatuan Kebajikan Warga Emas Harmoni Pulau Pinang dan Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Pulau Pinang masing-masingnya menerima peruntukan sejumlah RM1,500.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : CHAN KOK KUAN