GEORGE TOWN – Sebagai salah satu pintu masuk utama, Pulau Pinang telah memperhalusi garis panduan terutamanya berhubung persediaan menerima kehadiran rakyat Malaysia dari luar negara yang merupakan warga negeri ini melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (PIA).
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar, sehingga semalam, dua hotel telah bersetuju untuk menyediakan kemudahan bilik dan digazetkan sebagai stesen kuarantin.
“Pulau Pinang ini merupakan salah satu pintu masuk antarabangsa, jadi kita terpaksa bersedia daripada segi persediaan untuk membuka semula pusat atau stesen kuarantin bagi proses saringan awal wabak COVID-19.
“Penerbangan terdekat adalah pada hari Ahad ini (26 Julai)… kita ada penerbangan masuk dari Singapura, Indonesia dan Taipei melibatkan 79 orang penumpang.
“Dalam perbincangan semalam, dua hotel telah bersetuju untuk tujuan berkaitan, dan kita (Kerajan Negeri) juga lihat kemungkinan ada hotel-hotel baru yang akan berminat, malah beberapa Institut Latihan Awam (ILA) yang sebelum ini ditutup sebagai pusat kuarantin juga akan dibuka dan digazetkan semula.
“Kita akan maklumkan perkara ini kepada NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) bagi tujuan serta berkait pelaksanaannya,” ujarnya pada Masyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang (JKKNPP) Bilangan Ke-11 yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini pagi ini.
Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai, Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan pegawai-pegawai daerah.
Turut serta, Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang, Nazrul Fazami Mohamad sebagai urus setia; Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner (SAC) Zaharulhisham Ahmad; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Asmayani Khalib serta ketua-ketua jabatan berkenaan.
Kon Yeow dalam pada itu mengingatkan semua pihak agar tidak leka sebaliknya terus mempraktikkan amalan 4P sungguhpun Pulau Pinang telah menjadi negeri Hijau dalam tempoh 78 hari sebelum ini.
“Walaupun kita (Pulau Pinang) telah berjaya melepasi tempoh mencabar, namun COVID-19 masih lagi dalam komuniti dan negara. Justeru, kita perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk bebas daripada ancaman ini.
“Adalah tidak mencukupi sekiranya negeri kita sahaja yang berstatus Hijau kerana apabila sempadan dibuka, akan wujudnya risiko serta cabaran ancamannya.
“Kita perlu teruskan perjuangan dan bersama-sama tangani serta patahkan rantaian wabak pandemik ini,’’ seru beliau.
Dalam mesyuarat tersebut juga, ketua-ketua agensi berkaitan membentangkan laporan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berlangsung.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD