Waris ibu tunggal maut kemalangan lebuh raya terima sumbangan khas

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Waris kepada ibu tunggal, Noriah Kasa yang maut dalam kes pertembungan dua bas dan sebuah van kilang di Kilometer 147 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Utara pada 24 Oktober lepas menerima sumbangan khas daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Guan Eng turut merakamkan ucapan takziah kepada tiga anak mangsa berkenaan, Norasyikin Zurwanidufizan, 20, Nornadia, 18, dan Zarul Haziq, 12.

Bercakap kepada pemberita, Guan Eng memberitahu, sumbangan itu adalah daripada sumber khas Ketua Menteri memandangkan ketiga-tiga anak mangsa berkenaan bukanlah bermastautin di negeri ini.

Norasyikin yang kini masih bermastautin di Bagan Serai, Perak menyatakan bahawa beliau sekeluarga terharu atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi sumbangan tunai tersebut.

“Walaupun saya sudah bekerja di Pulau Pinang, sumbangan Kerajaan Negeri sedikit-sebanyak mengurangkan beban kami tiga beradik,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas ditemui sejurus selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan.

Pengorbanan ibu, tambah Norasyikin, selepas bercerai hidup selama lapan tahun sendirian memelihara mereka tiga beradik tidak akan dilupakan.

Pada 24 Oktober lepas kira-kira 6 pagi, pertembungan dua buah bas dan sebuah van kilang di Kilometer 147 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Utara, berhadapan Institut Teknikal Malaysia-Jepun (JMTi) menyaksikan lapan maut, sementara 30 penumpang lain cedera parah dan ringan.