TASEK GELUGOR – Waris kepada Muhammad Hawari Hashim yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) pertama negara ke Misi Everest 2023 (ME2023) menerima anugerah sebuah rumah daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hadir menyempurnakan penyerahan kunci rumah kepada isteri Muhammad Hawari, Safiyyah Tang Xie Li dalam majlis ringkas yang diadakan dekat Lorong Perda Indah 21, Taman Perda Indah di sini semalam.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo semasa berucap pada majlis berkenaan berkata bahawa rumah tersebut adalah dianugerahkan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dengan kerjasama pihak-pihak terlibat bagi meringankan beban waris Muhammad Hawari.
“LPNPP telah membentangkan hasrat untuk menganugerahkan sebuah rumah sebagai CSR kepada waris Muhammad Hawari dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah LPNPP pada 10 Oktober tahun lepas.
“Malah, perkara ini juga telah dipersetujui pada peringkat Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 8 November 2023 dan disahkan pada 15 November 2023,” katanya semasa berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) Dato’ Zulkifli Rashid; Ketua Polis Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Mohd Asri Shafie; Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Dan Tanah Daerah Seberang Perai Utara, Rosmin Yaakob; Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘AinuFadhilah Samsudi; Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP), Haryany Mohamad serta ahli keluarga Muhammad Hawari.
Mengulas lanjut, Sundarajoo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai menyatakan bahawa LPNPP sentiasa mendukung usaha dalam merumahkan rakyat di negeri ini sejajar dengan motto “Satu Keluarga, Satu Rumah”.
“LPNPP begitu komited dalam memastikan setiap keluarga di negeri Pulau Pinang dapat memiliki rumah sendiri mengikut kemampuan masing-masing.
“Justeru, kerjasama strategik buat julung kalinya di antara LPNPP, LMNPP serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung ini adalah sebahagian daripada usaha LPNPP untuk menjayakan hasrat tersebut,” ujarnya.
Difahamkan, rumah yang ditawarkan kepada waris Muhamamd Hawari adalah rumah jenis teres setingkat yang berharga RM80,000 dengan keluasan lantai 660 kaki persegi dan keluasan tanah (1,1000 kaki persegi).
Pada Mei tahun lepas, Muhammad Hawari yang juga kakitangan LMNPP menyertai misi ke Everest dan telah diisytiharkan berjaya sampai ke Puncak pada 19 Mei 2023.
Beliau kemudiannya dilaporkan hilang sejurus turun ke Kem 4 iaitu pada paras 8,000 meter dari aras laut pada hari yang sama.
Muhammad Hawari telah meninggalkan seorang ibu, isteri serta dua orang anak yang berusia empat dan dua tahun.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD