Waris pelajar mati lemas terima ihsan RM1,000 KN

Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT MERTAJAM – Waris kepada Mohd. Shahmin Abd. Karim, 9, dan Mohd. Faris Isham Hisham, 9, yang mati lemas di kolam tadahan air berhampiran tapak pembinaan Bandar Perda di sini baru-baru ini masing-masing menerima sumbangan ihsan berjumlah RM1,000 daripada Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, beliau sangat kesal dengan insiden yang berlaku dan meminta waris, Abd. Karim Abd. Ghani dan Roshiha Abd. Malek (ibu arwah Mohd. Faris) supaya bersabar.

Nada yang sama turut diluah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dalam majlis yang dilangsungkan di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), di sini.

Abd. Karim yang ditemui kemudian melahirkan rasa kesal atas sikap pemaju di tapak pembinaan berkenaan yang didakwa tidak bertanggungjawab atas insiden pada 12 September lepas.

“Saya berasa terkilan dengan mereka yang berdiam diri dan dilihat seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sedangkan tragedi ini tersebar luas di media sosial.

“Tiada langsung wakil dari pihak pemaju yang datang melawat atau meminta maaf atas kejadian yang menimpa kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, MPSP pada 13 September lepas menyerah notis kesalahan di bawah Seksyen 70A Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 kepada Aseania Development Sdn. Bhd.

Pemaju itu diarah menghentikan kerja pengorekan, arahan memasang pagar keselamatan serta papan tanda larangan serta-merta.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif dan beberapa Ahli Majlisnya, Amir Md. Ghazalli, Ahmad Tarmizi Abdullah serta Mohd. Rizal Abd. Hamid turut hadir pada majlis sumbangan ihsan tersebut.