CORAK kain batik yang dicetak pada beberapa helai kanvas bersaiz besar sebagai hiasan utama menjadikan Warung Ghumah Lama dekat Tasek Gelugor kelihatan unik dengan cara yang tersendiri.
Pelanggan yang berkunjung bukan sahaja dihidangkan dengan pelbagai pilihan juadah yang menarik, malahan mereka turut dihiburkan oleh alunan lagu-lagu Melayu klasik dan tradisional sebagai peneman ketika sedang menjamu selera di situ.
Kafe unik tersebut diusahakan oleh sepasang suami isteri muda, MUAZ MUHAMMAD, 37, dan SALMIAH SHAFINAZ AZMI, 34, sejak setahun yang lalu.

Baru-baru ini, penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, SITI NURATIKAH RAHMAT berkesempatan menemu bual pasangan suami isteri berkenaan untuk berkongsi pengalaman dan impian mereka dalam perjalanan perniagaan kafe makanan.
Memulakan bicara, Muaz memberitahu bahawa dia dan isteri pada mulanya tidak pernah berhasrat untuk membuka sebuah kafe memandangkan latar belakang pendidikan kedua-duanya langsung tidak terkait dengan industri makanan dan minuman (F&B).
Namun, Muaz berkata penularan pandemik COVID-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 telah mengubah segalanya dan membawa kepada kewujudan kafe Warung Ghumah Lama yang ada pada hari ini.
“Sebenarnya sebelum ini kami menjalankan perniagaan percetakan dan tidak pernah terfikir untuk membuka sebuah kafe kerana kami berdua tidak mempunyai latar belakang dalam bidang masakan
“Saya sendiri merupakan graduan dalam bidang Grafik Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia (USM) manakala isteri pula mempunyai kelulusan dalam bidang pengurusan dari Kolej Poly-Tech MARA (KPTM).

“Namun begitu, keadaan telah membawa kami ke sini dan tidak sangka pula perniagaan kafe ini menerima sambutan positif hanya selepas sebulan dibuka kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui dekat Tasek Gelugor baru-baru ini.
Mengimbau kembali perjalanan perniagaan Warung Ghumah Lama, Muaz berkata idea untuk membuka perniagaan tersebut hadir selepas mereka menerima bantuan peralatan perniagaan yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Sebelum itu, kami ada menjual daging salai dan rendang sejuk beku di pasar malam sekitar Pongsu Seribu dan setiap kali tiba musim perayaan sebagai mata pencarian sampingan.
“Selepas berlaku PKP, perniagaan pasar malam tidak dapat dijalankan dan pada masa sama kami menerima bantuan berbentuk peralatan memasak daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Bermula dari situlah, kami mendapat ilham untuk menjalankan perniagaan makanan dengan menjual daging salai dan kemudian membuka sebuah kafe yang kami namakan sebagai Warung Ghumah Lama,” katanya.
Muaz berkata, perniagaan Warung Ghumah Lama bermula pada Januari 2024 dengan mengetengahkan konsep tradisional Melayu.
“Apa yang menjadi pertimbangan kami pada masa itu adalah tempat, dan kami memutuskan untuk memanfaatkan ruang kosong yang dipenuhi semak-samun di bekalang premis perniagaan percetakan sebagai lokasi untuk membuka sebuah kafe.
“Dari segi hidangan pula, kami memilih hidangan sarapan pagi memandangkan setiap hari isteri saya perlu menyediakan makanan kepada anak-anak untuk ke sekolah.
“Antara juadah popular yang menjadi pilihan kebanyakan pelanggan di sini ialah lontong rendang daging salai dan roti bakar,” jelasnya.
Menyentuh mengenai konsep, Muaz memberitahu bahawa dia dan isteri memilih tema tradisional dengan mengambil ilham daripada rupa bentuk rumah masyarakat Melayu pada zaman dahulu selain mahukan sedikit kelainan.

“Kelengkapan untuk perhiasan kafe pula hanya menggunakan barangan terpakai yang diperolehi dari kawasan sekitar.
“Barangan terpakai ini diubah suai dan disusun atur sehingga menghasilkan tema yang unik ini.
“Tidak sangka pula tema tradisional yang kami ketengahkan menerima sambutan menggalakkan pelanggan dan mereka mula menyebarkan maklumat mengenai kafe kami melalui pelbagai platform media sosial terutamanya Tik Tok,” katanya.
Muaz berkata, dia dan isteri tidak berpuas hati setakat itu sahaja apabila mereka sentiasa berusaha untuk menambah baik juadah yang disediakan kepada pelanggan.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Muaz berkata dia dan isteri mempunyai impian untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.
“Kami ada perancangan untuk memindahkan kafe ini ke lokasi yang lebih luas di Tasek Gelugor juga demi keselesaan pengunjung.
“Namun, konsep tradisional yang unik ini akan tetap dikekalkan kerana ia sudah menjadi identiti perniagaan kami.
“Selain itu, kami juga merancang untuk membina sebuah dewan yang sesuai untuk menjalankan sebarang majlis dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang,” katanya yang kini dibantu oleh lima kakitangan.
Selain lontong dan roti bakar, Warung Ghumah Lama turut menawarkan menu-menu Istimewa lain seperti nasi lemak, sate goreng seta makanan barat.
Perniagaan Warung Ghumah Lama beroperasi dari jam 7 pagi hingga 12.30 tengah hari pada setiap hari Selasa hingga Ahad dan ditutup pada Isnin.
Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 013-464 7744 atau layari laman sosial Warung Ghumah Lama di laman Facebook, Instagram dan Tik Tok.