Waspada sindiket penipuan tempahan rumah – Exco

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Orang ramai khususnya pembeli rumah kali pertama diminta supaya berwaspada dengan sindiket penipuan jual beli rumah yang menawarkan cagaran bagi unit-unit rumah dibeli.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, beliau menerima sepucuk surat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Aspen Group (AG), Datuk Murly Manokharan pada 23 Julai lalu untuk memaklumkan bahawa pihak Aspen Vision Ventures Sdn. Bhd. (anak syarikat AG) menerima aduan wujudnya sindiket penipuan melibatkan pembelian unit rumah di Tri Pinnacle, Mount Erskine di Tanjong Tokong.

“Suspek mendakwa dia adalah ejen yang menawarkan jaminan tempahan unit rumah di Tri Pinnacle dan mengkehendaki mangsa membayar wang tempahan atau wang pendahuluan sebagai cagaran untuk mendapat unit-unit tertentu bagi projek berkenaan.

“Untuk makluman semua, BPKN (Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri) mahupun pihak AG sendiri tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga atau mengarahkan mana-mana individu untuk mengambil komisyen atau wang tempahan  sebagai cagaran unit rumah.

“Semua urusan jual beli rumah dan pemilihan bagi rumah kos mampu milik dan sederhana rendah itu adalah melalui SPEC (Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan) dan bukannya pihak ketiga,” tegasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi AG, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff dan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia, Cawangan Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan.

Rentetan itu, satu laporan polis telah dibuat pihak AG di Balai Polis Pulau Tikus baru-baru ini.

Sindiket penipuan berkenaan disyaki telah menipu wang pendahuluan untuk cagaran unit rumah bernilai antara RM10,000 hingga RM30,000 dan sehingga kini, pihak pemaju percaya suspek yang menjalankan sindiket berkenaan masih berleluasa.

Jagdeep dalam pada itu, menggesa pihak polis supaya memburu individu terlibat dalam sindiket penipuan menggunakan nama BPKN.

“Saya sendiri telah menulis surat kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi berhubung perkara ini dan memohon agar tindakan tegas serta segera dapat diambil terhadap individu terlibat dalam sindiket haram tersebut,” ujar beliau.

Tambah Jagdeep, beliau menasihati mana-mana pembeli rumah, sama ada kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik perlu melalui permohonan di BPKN.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket penipuan berhubung cagaran pembelian rumah di Pulau Pinang diminta menghubungi Pejabat Exco Perumahan di Komtar pada talian 04 – 650 5138 atau 04 – 261 0763 atau membuat laporan polis di mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan.