‘Watch You’ pantau pembuangan sampah di tong komunal MBSP

SEBERANG JAYA – Kamera litar tertutup (CCTV), Watch You akan memantau pembuangan sisa pepejal domestik di luar tong sampah serta pembuangan sisa pepejal industri dan perdagangan di tong komunal milik Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad berkata sebanyak 16 lokasi atau kawasan hotspot tapak tong komunal yang didapati berlakunya masalah pembuangan sampah di luar tong sampah di sekitar Seberang Perai bakal dipasang CCTV mudah alih berkenaan.

“Pada peringkat permulaan, pada 9 Februari lalu, CCTV Watch You telah dipasang di empat lokasi iaitu di Tapak Tong Komunal Taman Widuri, Tapak Tong Komunal Kampung Kepala Gajah, Tapak Tong Komunal Taman Cendana Permai dan Tapak Tong Komunal Pekan Penaga.

“Manakala, 12 lagi CCTV Watch You akan dipasang dalam tempoh tiga bulan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran CCTV Pemantau Mudah Alih – Watch You dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pada 19 Oktober lalu.

Rupa bentuk CCTV Watch You yang akan dipasang di 16 lokasi hotspot pembuangan sisa pepejal di tong komunal milik MBSP.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye.

Azhar berkata, pemantauan secara langsung melalui penggunaan Watch You membolehkan MBSP memendekkan masa pemantauan penguatkuasaan, memberi respons dengan cepat, mengurangkan tenaga kerja dan mempercepatkan tindakan mengemukakan kompaun.

“Secara tidak langsung ia mengurangkan kadar aduan berkaitan sampah dan imej dan reputasi MBSP yang baik di mata masyarakat.

“Di samping itu, langkah ini juga dapat mengekalkan kebersihan bandar, meningkatkan kualiti komuniti serta mempamerkan penyampaian perkhidmatan yang cekap oleh MBSP,” ujarnya sambil menambah bahawa sebanyak 1,039 lokasi di sekitar Seberang Perai mempunyai kemudahan tong komunal MBSP.

Tambah Azhar, pelaksanaan inisiatif pemasangan CCTV Watch You adalah hasil kerjasama pintar di antara MBSP dengan syarikat berasaskan teknologi, Happy Icon Sdn. Bhd.

Watch You merupakan peralatan mudah alih yang menggunakan tenaga solar bagi memantau dan menangani pembuangan sisa pepejal domestik di luar tong sampah serta pembuangan sisa pepejal industri dan perdagangan.

“Maklumat yang diterima akan dihantar ke sistem data penguatkuasaan di Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP.

“CCTV ini dilengkapi dengan aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang mampu membuat pengecaman nombor pendaftaran kenderaan serta pengecaman muka bagi pelaku yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa sehingga ini sebanyak 55 kompaun telah dikeluarkan melalui pemantauan CCTV Watch You kepada individu atau syarikat yang didapati telah melakukan kesalahan.

“Justeru, saya menyeru kepada semua warga Seberang Perai supaya sentiasa menjaga kebersihan awam.

“Tindakan membuang sampah merata-rata, membuang sampah di kawasan yang tidak sepatutnya dan melupuskan sisa pepejal industri dan perdagangan di tong komunal MBSP merupakan satu kesalahan dan boleh dikompaun sebanyak RM2,000,” serunya.

Sementara itu, Mooi Lye dalam ucapannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada MBSP kerana mengambil inisiatif berkenaan sebagai salah satu cara untuk memelihara kebersihan persekitaran di Seberang Perai.

“Dengan adanya pemantauan CCTV ini, pihak MBSP dapat menjejaki pihak yang tidak bertanggungjawab dan tindakan seperti pengeluaran kompaun serta denda akan dikenakan kepada mereka yang melakukan kesalahan terbabit,” ujarnya.

Parlimen Kepala Batas:

– Jalan Tiga, Sri Serdang

– Jalan Permatang Kuang, Penaga

Parlimen Tasek Gelugor:

– Jalan Permatang Indah

– Simpang Empat Permatang Buluh (Berdekatan Driving School)

Parlimen Bagan:

– Jalan Melur, Taman Sin Tat.

– Lorong Kenanga, Taman Merbau Jaya.

Parlimen Permatang Pauh:

– Jalan Kubang Semang (hadapan Perkuburan Islam Kampung Petani)

– Lorong Perda Utama 9, Bandar Perda.

Parlimen Bukit Mertajam:

– Lorong Sukun 12 (tepi padang)

– Tapak Tong Jalan Kilang Ubi

Parlimen Batu Kawan:

– Tapak Tong Taman Cedana Permai

– Tapak Tong komplek makanan inderawasih

– Jalan Pintasan Halaman Seroja

– Lorong Nafiri 4

Parlimen Nibong Tebal:

  • – Tapak Tong Kampung Kuyung
  • – Tapak Tong Pasar Awam Taman Pekaka

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD