BERTAM – Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas mengambil inisiatif mewujudkan Sudut Kesihatan atau ‘Wellness Corner’ dalam meningkatkan kesejahteraan para pelajarnya.
Kaunselor Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling MRSM Kepala Batas, Noraim Abu Hassan berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menyediakan ruang yang selamat tetapi juga terapeutik kepada para pelajar.
Sudut ini diharap dapat membuang persepsi dalam kalangan pelajar bahawa bilik kaunseling hanya untuk pelajar bermasalah sahaja.
“Sebaliknya, membolehkan para pelajar menjalani kehidupan sekolah yang lebih sejahtera, produktif dan lebih berkeyakinan dalam menghadapi apa jua cabaran,” ujarnya.
Seorang lagi kaunselor, Rosfariza Mohamed Ghani memberitahu bahawa Wellness Corner tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk bilik kaunseling yang selesa, ruang perbincangan dan bahan-bahan rujukan yang boleh membantu pelajar dalam menguruskan tekanan serta mengatasi masalah peribadi.
“Ini adalah langkah positif dalam usaha memperkukuhkan sokongan kepada pelajar sekali gus menyokong matlamat MARA (Majlis Amanah Rakyat) untuk melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga sihat dari segi mental dan emosi,” katanya.
Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) MARA, Rohayah Mohd. Zain hadir menyempurnakan perasmian Wellness Corner di sini baru-baru ni.
Turut hadir, para pegawai dan wakil dari MARA dan Institusi Pendidikan MARA (IPMa) Zon Utara.
Dalam pada itu, taklimat mengenai fungsi dan perkhidmatan yang disediakan di Wellness Corner tersebut disampaikan oleh Presiden Pembimbing Rakan Sebaya, Muhammad Habil Halid.
Difahamkan, Wellness Corner merupakan inisiatif MRSM Kepala Batas dengan kerjasama Persatuan Kaunseling dan Psikologi MARA Malaysia (PEKAMARA) dan Yayasan Hasanah.
Teks & Gambar : MRSM KEPALA BATAS