Whoosh nadi pengangkutan terpantas di Asia Tenggara

Admin
img 8884

KERETA Api Cepat Indonesia China (KACIC) atau dikenali sebagai Whoosh menjadi nadi sistem pengangkutan awam baharu yang menghubungkan Bandung dan kota metropolitan Jakarta.

Dilancarkan pada April 2023, ia juga menjadi daya tarikan baharu pelancongan di Jawa Barat yang seterusnya memangkin pembugaran ekonomi setempat.

Penulis Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI sempat merasai perjalanan menggunakan Whoosh dari Stesen Kereta Cepat Halim, Jakarta ke Stesen Kereta Cepat Padalarang, Bandung yang mengambil masa hanya 30 minit.

img 8847

Di sini, penulis bertemu dengan Pengarah Komunikasi Korporat KACIC, EMIR MONTI untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Whoosh.

 

Menurut Emir, Whoosh diilhamkan oleh mantan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo atau dikenali sebagai Jokowi pada tahun 2015.

 

“Ini merupakan hasil kerjasama Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Indonesia dan negara China, sehingga 2017 kerja-kerja membuka jalan dilaksanakan, tahun 2018 baru kerja-kerja pembinaan dimulakan.

img 8851

“Tahun 2023 kerja-kerja pembinaan siap dan dirasmikan pada bulan April.

 

“Statistik daripada bulan Oktober 2023 sehingga terkini, sebanyak 3.5 juta penumpang direkodkan menggunakan perkhidmatan Whoosh sama ada berkaitan urusan kerja, pelancongan, ke sekolah dan lain-lain lagi,” ujar Emir ketika ketika ditemui pada 7 Jun lalu.

img 0569

Sebagai rekod, Whoosh dibina di atas laluan rel sepanjang 142 kilometer (km) melalui kawasan bandar, perkampungan, panorama sawah padi dan alam semulajadi yang pastinya memukau pandangan pengguna laluan ini.

img 9028

Berkelajuan maksimum 350 km/jam, Whoosh menjadi pengangkutan rel terpantas di Asia Tenggara menggunakan teknologi landasan magnetik yang lebih stabil.

img 0568 (1)

Pengalaman penulis, walaupun bergerak pada kelajuan yang sangat tinggi hampir tidak terasa bunyi bising daripada luar mahu pun kesan gegaran di dalam gerabak, pendek kata sangat selesa.

 

Emir berkata, kos projek pada ketika pembinaan dimeterai adalah kira-kira RM30 bilion.

 

“Kalau sebelum ini dari Jakarta ke Bandung memakan masa dua hingga tiga jam, dengan adanya Whoosh perjalanan dipendekkan kepada 30 minit sahaja.

 

“Dari segi pelancong, yang ramai sememangnya dari Singapura dan Malaysia, ini secara tidak langsung Whoosh membantu pertumbuhan ekonomi di Jawa Barat.

img 0567

“Ini kerana tarikan seperti ini akan membuka jalan kepada sektor-sektor pelancongan dan dan korporat untuk lebih beralih ke Jawa Barat sebagai daerah yang mempunyai identiti baharu,” jelas Emir kepada pihak media dan pempengaruh media sosial yang hadir atas undangan Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Pulau Pinang.

Difahamkan, melalui Whoosh juga, kesesakan jalan raya dan lebuh raya yang menghubungkan Jakarta – Bandung berjaya dikurangkan hampir 30 peratus.

 

“Bagi satu hari dianggarkan 15,000 hingga 16,000 penumpang menggunakan Whoosh dan ini dilihat satu perkembangan yang bagus terutamanya dalam membudayakan penggunaan pengangkutan awam.

 

“Saya difahamkan visi pemerintah turut melihat ke hadapan untuk merancang pennyambungan ini mungkin sampai ke bandar Surabaya yang berada di hujung kepulauan Jawa,” katanya mengakhiri bicara sebelum membawa rombongan merasai sendiri pengalaman menaiki Whoosh.

 

Tiket dijual bermula daripada harga kira-kira RM46 hingga RM215 bergantung kepada kelas perjalanan yang dibeli oleh penumpang.

 

Sekiranya ke sini, Whoosh merupakan satu pengangkutan yang wajib dinaiki untuk merasai sendiri kehebatan teknologi kereta api moden tersebut.