PUCHONG, SELANGOR – Atlet dekatlon Pulau Pinang, Wilson Quaik Zhen Han pada petang tadi (16 September 2022) memenangi pingat emas dalam saingan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, sekali gus merealisasikan sasaran pingat yang diletakkan atas pundak beliau secara peribadi.
Beliau berjaya menghimpun 6,320 mata keseluruhan bagi gabungan acara balapan dan padang; menjadi pendahulu di depan atlet negeri Selangor (5,630) dan Perlis (5,628).
Dengan sumbangan Wilson Quaik itu, skuad olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang pada hari ini sahaja berjaya merangkul dua pingat emas dan satu gangsa.
Saingan sukan olahraga sebelah pagi tadi menyaksikan Sriven Tan menyumbang pingat emas bagi acara lumba jalan kaki lelaki 10,000 meter (m) kepada Kontinjen SUKMA Pulau Pinang, sementara pingat gangsa pula disumbangkan oleh atlet acara lompat tinggi wanita, Melissa Choong En Xuan.
Untuk rekod, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan Kontinjen SUKMA negeri menyasarkan tiga pingat emas dalam sukan olahraga sahaja sempena temasya dwitahunan SUKMA Ke-20 ini.
Tahniah Wilson Quaik!
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI