‘Wira Oren’ sedia depani risiko demi khidmat kepada masyarakat

Admin

KEBERADAAN pasukan ‘Wira Oren’ bukan lagi asing bagi penduduk Seberang Perai terutamanya semasa berlaku bencana alam seperti banjir kilat, ribut taufan dan sebagainya.

‘Wira Oren’ secara umumnya merujuk kepada barisan kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang terlibat dengan kerja-kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang mana peranan mereka sangat penting khususnya dalam aspek menjaga keselamatan, kebersihan dan keindahan Seberang Perai.

Persekitaran pasar awam yang bersih dan selamat sentiasa menjadi keutamaan buat pasukan ‘Wira Oren’.

Dalam keadaan hujan atau panas, merekalah yang menjadi kumpulan paling awal turun ke lapangan untuk membantu masyarakat dengan penuh kebertanggungjawaban.

Tidak terkecuali, dalam usaha getir memerangi penularan wabak COVID9-19, peranan wira-wira yang tidak didendang ini ternyata amat penting untuk memastikan penduduk di Seberang Perai sentiasa selamat dan terkawal.

Mohd. Zaki Hashim.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Mohd. Zaki Hashim, 49, memberitahu bahawa meskipun terdapat kebimbangan terhadap risiko jangkitan wabak COVID-19, namun tugas yang diamanahkan harus dilaksanakan sebaik mungkin demi keselamatan masyarakat di Seberang Perai.

“Saya ditugaskan mengawal pergerakan termasuk memeriksa suhu badan pengunjung-pengunjung yang datang ke pasar ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

“Biasanya setiap hari (enam hari seminggu) kami akan berada di sini dari jam 7.00 pagi hingga pasar tutup pada jam 12.00 tengah hari untuk mengawal pergerakan pengunjung supaya sentiasa berada dalam keadaan terkawal.

“Pada awal PKP dilaksanakan, ada juga pengunjung yang kurang memahami dan mengganggap apa yang kita lakukan ini mengganggu urusan mereka tetapi sekarang ramai sudah faham bahawa semua usaha ini adalah demi keselamatan bersama,” katanya ketika ditemui semasa bertugas di Pasar Awam Sama Gagah, di sini pagi tadi.

Mohd. Fuad Awang Jaafar.

Mohd. Fuad Awang Jaafar, 40, pula memberitahu bahawa cabaran yang dihadapi ‘Wira Oren’ sebagai pasukan barisan hadapan adalah sama seperti tugas penguatkuasaan lain seperti polis, RELA, bomba dan lain-lain khususnya dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

“Bertugas pada musim penularan wabak COVID-19 ni sedikit berbeza kerana kita perlu mengambil langkah lebih berhati-hati agar tidak dijangkiti.

“Oleh itu, selepas selesai menjalankan tugas saya akan membersihkan diri terlebih dahulu sebelum bersama-sama dengan ahli keluarga.

“Ahli keluarga juga pada mulanya turut menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan saya semasa bekerja tetapi akhirnya mereka faham bahawa tanggungjawab ini harus dilaksanakan,” ujarnya yang telah berkhidmat bersama MBSP sejak 2004 lagi.

Mazlan Omar.

Bagi Mazlan Omar, 36, melaksanakan tugasan sebagai pasukan barisan hadapan dalam mengekang penyebaran wabak COVID-19 memerlukan mereka bersikap lebih berhati-hati berbanding ketika melakukan tugasan pada hari-hari biasa.

Katanya, menjadi tugas beliau untuk memastikan persekitaran pasar sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat buat pengunjung.

“Saya memang sentiasa berhati-hati semasa menjalankan tugas kerana kita perlu berdepan orang ramai yang mana ada dalam kalangan mereka mungkin adalah pembawa virus. Jadi, kita tidak mahu virus ini dibawa pulang dan menjangkiti ahli keluarga pula,” katanya lagi.

Sementara itu, Azhar Ismail, 52, berkata bahawa cabaran yang terpaksa hadapi pasukannya adalah untuk berdepan dengan kerenah orang ramai yang adakalanya kurang memahami perihal pentingnya mengamalkan langkah-langkah pencegahan COVID-19.

Azhar Ismail (kanan) menunjukkan laluan keluar kepada salah seorang pengunjung di Pasar Awam Sama Gagah dekat Penanti.

“Awal-awal kita laksanakan langkah pencegahan seperti mengarahkan pengunjung mengekalkan jarak sosial, mengehadkan kemasukan pengunjung ke dalam pasar telah membangkitkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

“Tetapi kini kebanyakan pengunjung sudah faham dan mereka telah memberikan kerjasama yang sangat baik,” jelasnya.

Ditanya mengenai risiko jangkitan (COVID-19), Azhar berkata bahawa beliau bersyukur kerana pihak MBSP begitu mengambil berat perihal kebajikan dan keselamatan pasukan ‘Wira Oren’ dengan membekalkan kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang secukupnya.

“MBSP telah membekalkan semua keperluan perlindungan diri untuk kami seperti menyediakan pelitup muka, pensanitasi serta sarung tangan dan mengawal keselamatan kami dengan sangat ketat.

“Saya juga selalu mendapatkan maklumat berkaitan langkah-langkah pencegahan COVID-19 daripada anak saya yang kini sedang bekerja sebagai pasukan barisan hadapan di Hospital Pulau Pinang,” katanya.

Bagi penulis, jasa dan bakti pasukan ‘Wira Oren’ yang sentiasa mengorbankan masa dan tenaga untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik untuk warga Seberang Perai adalah sangat murni dan wajar dihargai.

Justeru, adalah diharapkan seluruh warga Seberang Perai dapat memberikan kerjasama kepada mereka dengan sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar dan mengurangkan penghasilan sampah-sarap

Terima kasih “Wira Oren’!

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD