SEBERANG PERAI – Bumi hijau dan bersih, rakyat sejahtera. Setiap hidupan yang wujud di muka bumi ini memerlukan suasana persekitaran yang hijau dan bersih iaitu bebas daripada sebarang bentuk pencemaran bagi memperoleh kehidupan yang sihat, aman dan sejahtera.
Bagi menunaikan impian tersebut, setiap individu harus memainkan peranan bagi menjaga keharmonian alam sekitar di muka bumi dari terus dicemari dengan sampah sarap yang menyakitkan mata sesiapa yang memandang.
Salah satu tempat yang harus diberi perhatian khusus ialah longkang atau parit kerana di sinilah selalunya tempat sampah sarap berkumpul oleh dek kerana sikap sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab. Disebabkan itu, maka berlakunya banjir kerana sistem saliran yang tidak lancar akibat tersumbat.
Selaras dengan itu, seramai 23 pekerja Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah diberi pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana membantu menangani masalah ini. Mereka telah menerima sumbangan motivasi berupa sijil penghargaan dan cek bernilai RM500.00 (bagi 13 individu) dan RM300.00 (bagi 10 individu) pada Majlis Pelancaran Pasukan Pengawal Lalulintas MPSP dan Penyampaian Anugerah Khas 23 Pekerja MPSP di sini baru-baru ini.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sambil disaksikan oleh Yang diPertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif, Pengerusi MMK Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Tuan Chow Kon Yeow, Pegawai Kewangan Negeri, Mokhtar Mohd. Jait dan beberapa Ahli Majlis MPSP.
Menurut Ketua Menteri, usaha murni para pekerja am membantu membersihkan longkang tersumbat dan mengurangkan kekerapan banjir kilat harus diberi penghormatan yang sewajarnya. Mereka ini juga dikenali sebagai wira-wira yang tidak dikenali kerana bekerja di belakang tabir.
“Melihat kepada keadaan yang menjijikkan hasil perbuatan kita sendiri iaitu pengamalan tabiat membuang sampah di merata-rata tempat terutama di dalam saluran longkang, renungkan, siapa yang sanggup turun padang untuk membersihkan kotoran berkenaan. Jika ditanya, saya sendiri belum bersedia untuk melakukan kerja-kerja seperti itu”, katanya.
Guan Eng menambah, kerja-kerja 3D’s yang dilaksanakan oleh anggota skuad khas tersebut, iaitu ‘Dangerous, Difficult dan Dirty’ (bahaya, sukar dan kotor) memerlukan kemahiran, pengalaman dan juga mengikut keperluan kerana tidak terdapat peralatan canggih atau khas bagi mengeluarkan sampah-sarap yang terlekat di dalam longkang.
”Mereka bekerja keras melaksanakan tugas ini bagi meningkatkan imej MPSP dan memberi perkhidmatan yang berkualiti tinggi demi keselesaan penduduk Seberang Perai.
”Kini, MPSP menjadi lebih bersih dan lebih hijau berbanding dahulu sungguhpun anggota yang bekerja adalah orang yang sama’’ ujar beliau.