GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya telah menyediakan peruntukan berjumlah RM100,000 susulan permohonan Young Muslim Sport Club (YMSC) bagi projek pemasangan lif di bangunan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa sebelum ini ia hanya menunggu kelulusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi tujuan ubah suai struktur bangunan bagi menyalurkan peruntukan berkaitan.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa di Wisma YMSC, Lebuh King pada 28 Mac 2025.
“Merujuk kepada seruan Presiden YMSC tadi berhubung projek (pemasangan) lif yang sudah diusahakan sejak dua tahun lalu, kita (Pejabat Ketua Menteri) masih simpan peruntukan tersebut sebab belum mendapat kelulusan (pihak) Datuk Bandar MBPP.
“Kita pun bersyukur kerana sudah mendapat kelulusan… seperti dijanjikan sebelum ini, pada malam ini sukacita say umumkan peruntukan RM100,000 untuk menjayakan projek (pemasangan lif) ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Sebelum itu, Kon Yeow turut berharap sekalian umat Islam terutama di negeri Pulau Pinang dapat merebut kelebihan dalam 10 malam terakhir bulan Ramadan, dan dapat menyambut hari lebaran Aidilfitri pada 1 Syawal nanti.
Turut berucap, Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Pengerusi YMSC, Munawer Sadiq.
ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran dan isteri; dan barisan pemimpin NGO lain turut sertai majlis tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN