Woodball Pulau Pinang sasar ke SUKMA 2026

Admin
dsc 2772

WOODBALL mungkin tidak terlalu popular sebagaimana sukan teras yang lain di negara ini seperti bola sepak, olahraga, badminton, hoki dan sebagainya.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sukan woodball boleh dikatakan sudah mula berkembang di negara ini dan mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Di Pulau Pinang, sukan woodball dipromosi dan dibangunkan secara aktif oleh Persatuan Woodball Pulau Pinang (Woodball Pulau Pinang) yang ditubuhkan pada 17 Februari 2011.

Malah, sukan woodball telah memperolehi kategori B dalam Skim Bantuan Pengurusan dan Pentadbiran 2023 yang melayakkan menerima geran berjumlah RM10,000 daripada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

Baru-baru ini, Buletin Mutiara berkesempatan menemu bual atlet dan pimpinan Persatuan Woodball Pulau Pinang untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai pencapaian dan usaha mereka dalam mempromosikan sukan woodball di negeri ini.

Sukan untuk semua

dsc 2806
Jamaludin Yaacob.

Presiden Persatuan Woodball Pulau Pinang, JAMALUDIN YAACOB, berkata woodball merupakan sejenis sukan yang mirip dengan golf dan boleh dimainkan oleh semua tanpa mengira peringkat umur dan keadaan fizikal.

Mengikut sejarah, beliau memberitahu bahawa sukan woodball mula diperkenalkan di Taiwan pada tahun 1990 oleh mendiang Weng Meng Hui dan dibawa ke Malaysia pada tahun 1995 oleh Thomas Kok.

Di Pulau Pinang pula katanya, sukan woodball mula bergerak secara aktif di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS) dekat Bukit Mertajam sebelum berkembang ke kawasan selatan dan utara negeri ini.

“Ketika itu, saya merupakan pengetua di SMSTSSS yang mana saya telah mengadakan kerjasama erat dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, dan kami berjaya mengadakan sebuah padang khusus untuk permainan woodball.

“Selepas itu, kami mula menjalani latihan secara serius dan menyertai beberapa kejohanan yang dianjurkan oleh persatuan woodball dari beberapa negeri seperti Perlis, Pahang dan Terengganu.

“Kemudian pada tahun 2018 julung kalinya kami berjaya menganjurkan kejohanan sendiri pada peringkat kebangsaan,” katanya kepada penulis, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, SITI NURATIKAH RAHMAT ketika ditemui dekat Vision Park, Bertam 8 Julai lalu.

dsc 2794
Salah seorang atlet sedang membuat pukulan.

Jamaludin, 66, berkata pada awal tahun 2022, Persatuan Woodball Pulau Pinang berjaya mendapatkan kebenaran daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk menjalani latihan di Vision Park, Bertam dengan padang yang lebih luas dan selesa.

“Di sini juga kami telah berjaya menganjurkan dua kejohanan besar selain menjadi tuan rumah bagi kejohanan woodball peringkat kebangsaan, dengan yang terbaru adalah pada bulan Jun lalu,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mempromosi dan mengembangkan lagi sukan woodball dalam kalangan pelajar sekolah.

“Kami mohon agar YB Menteri Pendidikan memasukkan sukan woodball sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum sekolah, yang mana pelajar yang menyertai apa-apa kejohanan sukan woodball perlu diberikan markah serta sijil penghargaan.

“Sebenarnya usaha ini telah dijalankan sejak dua tahun lalu dengan mengembangkan sukan woodball dalam kalangan guru sekolah termasuk mengadakan bengkel dan latihan di sekolah-sekolah yang berminat.

“Kami juga bergerak bersama-sama dengan Pejabat Pendidikan Negeri Pulau Pinang untuk mengembangkan lagi sukan ini ke sekolah-sekolah di setiap daerah di negeri ini,” katanya sambil menambah bahawa pihaknya sentiasa bersedia menerima jemputan daripada mana-mana sekolah bagi sesi taklimat dan bengkel.

dsc 2766
Mallet iaitu kayu untuk memukul bola.

Ditanya mengenai sasaran dan perancangan masa hadapan, Jamaludin berkata Persatuan Woodball Pulau Pinang sedang berusaha untuk mara ke peringkat dunia di samping memenangi beberapa kejohanan utama yang lain.

“Sasaran ini pada saya realistik, kerana pada tahun lepas ada pemain kita berjaya merangkul pingat emas bagi acara pantai pada kejohanan peringkat dunia.

“Justeru, pada masa sekarang kami akan menyertai semua pertandingan yang dianjurkan pada peringkat negeri dan kebangsaan.

“Buat masa terdekat, seramai 24 atlet kami akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Puchong, Selangor.

“Bagi sasaran jangka panjang pula kami mahu jadikan sukan woodball sebagai sukan untuk semua atau sukan komuniti,” katanya.

Mudah dipelajari

Sementara itu, jurulatih pembangunan woodball Pulau Pinang, ZULKARNAIN MOHAMED SHAHARUDDIN, berkata woodball merupakan sukan yang mudah dipelajari oleh semua orang.

dsc 2773
Zulkarnain Mohamed Shaharuddin.

“Bagi yang belum ada pengetahuan mengenai sukan ini memang diakui mereka akan berasa agak janggal tetapi sebenarnya woodball sangat mudah untuk dipelajari apabila mereka mula menguasai teknik yang betul.

“Ini kerana sukan ini tidak mempunyai teknik atau disiplin yang khsusus, cukuplah jika seseorang dapat memukul bola menggunakan mallet (pemukul) ke depan,” katanya sambil menambah bahawa kos bagi peralatan lengkap sukan woodball juga sangat mampu milik iaitu sekitar RM600 dan boleh digunakan dalam tempoh yang lama.

Bercerita mengenai penglibatan awal dalam woodball, Zulkarnain, 55, menjelaskan bahawa beliau mula mengenali sukan itu melalui sebuah rancangan televisyen pada tahun 2006.

Kini, beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam sukan woodball sehingga pernah dilantik sebagai pengadil, delegasi teknikal dan ahli jawatankuasa bahagian teknikal persatuan woodball peringkat antarabangsan.

“Saya diberikan peluang terlibat dalam penganjuran kejohanan piala dunia (woodball) di Kuala Lumpur pada tahun 2006 dan kemudiannya terus dilantik sebagai pengadil.

“Selain itu, saya juga dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Woodball Malaysia sejak dua tahun lepas.

“Malah, saya juga merupakan antara individu yang bertanggungjawab menubuhkan Persatuan Woodball Pulau Pinang yang kemudiannya diberi tanggungjawab selaku setiausaha sehingga sekarang,” ujarnya.

Bercakap mengenai perancangan masa depan, beliau berkata pihaknya kini sedang mengadakan rundingan dengan Menteri Belia dan Sukan untuk memasukkan woodball sebagai salah sukan yang dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

“Woodball pernah dipertandingkan dalam SUKMA 2013 sebelum dikeluarkan pada edisi yang berikutnya.

“Jadi, kami berharap woodball akan dipertandingkan semula pada SUKMA 2026 di Kelantan atau 2028 di Pulau Pinang kerana kita mempunyai barisan atlet yang mencukupi,” katanya lagi.

Mengenai sasaran pula, Zulkarnain berkata beliau berharap agar atlet yang dilatih pada peringkat remaja bermula tahun 2022 boleh mencapai peringkat tertinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sekarang Pulau Pinang sudah mula menampakkan peningkatan hasil daripada usaha pihak persatuan dengan sokongan semua pihak termasuk Kerajaan Negeri dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, MSNPP, pejabat Exco (Belia dan Sukan) dan paling penting adalah ibu bapa pelajar yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada anak-anak mereka untuk terlibat dalam sukan ini,” katanya.

Pencapaian atlet

dsc 2831
Alya Umairah Amran.

Dalam pada itu, ALYA UMAIRAH AMRAN, 16, berkata bahawa penglibatannya dalam sukan woodball bermula seawal usia 10 tahun.

“Asalnya saya aktif dalam sukan golf tetapi selepas diperkenalkan kepada woodball oleh guru di sekolah, saya mula meminati sukan ini dan membuat keputusan untuk menyertai secara serius.

“Setakat ini saya telah menyertai beberapa pertandingan termasuk pada peringkat dunia dan berjaya memperoleh pingat emas dalam Kejohanan Woodball Pantai Piala Dunia dan pingat gangsa untuk Kejohanan Woodball Terbuka Antarabangsa Malaysia tahun 2023.

“Baru-baru ini, dalam Kejohanan Woodball Kebangsaan Ke-18 yang diadakan di Pulau Pinang saya mendapat johan bagi kategori remaja Perempuan bawah 21 tahun.

“Sekarang saya sedang menjalani latihan untuk pemilihan bagi kejohanan dunia yang akan diadakan China,” katanya pelajar Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas.

dsc 2829
Abdullah Abid Suhaimi.

ABDULLAH ABID SUHAIMI, 14, yang merupakan pelajar di SMK Datuk Hj Abdul Kadir pula berkata di mula terlibat dengan sukan woodball sejak berumur 11 tahun.

Katanya, walaupun berasa agak janggal pada mulanya namun dia merasakan bahawa sukan woodball sangat menyeronokkan kerana mudah untuk dipelajari.

“Dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu dan ayah, saya berjaya dinobatkan sebagai johan dalam Kejohanan Woodball Kebangsaan Ke-18 2024 yang diadakan di negeri Pulau Pinang Jun lalu,” ujarnya sambil menambah bahawa sasaran seterusnya adalah untuk mewakili negeri Pulau Pinang dalam temasya SUKMA 2026.

dsc 2836
Nur Alisya Shamsulkamal (kiri) bersama-sama kakak dan ayahnya yang turut melibatkan diri dalam sukan woodball.

Turut ditemui ialah NUR ALISYA SHAMSULKAMAL, 16, yang juga pelajar di SMK Datuk Hj Abdul Kadir berkata dia pada mulanya merupakan atlet peringkat sekolah bagi sukan golf sebelum beralih kepada woodball.

“Saya dipelawa oleh jurulatih (Zulkarnain Mohamed Shaharuddin) untuk mencuba permainan woodball dan saya mula berasa sukan ini agak menyeronokkan.

“Sejak itu, saya mula bergiat akif dalam sukan ini dan mula melibatkan diri dalam beberapa pertandingan yang disertai oleh pihak persatuan.

“Sasaran saya adalah untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan dunia,” katanya sambil memberitahu bahawa semua adik-beradik termasuk ibu dan bapanya turut terlibat dalam sukan woodball.

dsc 2838
Muhammad Amiruddin Hail Hazri (kiri) bersama-sama ahli keluarga yang merupakan pemain sukan woodball.

MUHAMMAD AMIRUDDIN HAIL HAZRI, 14, dari SMK Permatang Tok Jaya memberitahu bahawa di mula meminati woodball setika menemai ibunya menjalani latihan sukan itu ketika dia berumur 10 tahun lagi.

“Semasa teman ibu, saya turut mencuba permainan woodball dan merasakan sukan ini sangat menyeronokkan dan mudah untuk dipelajari.

“Saya kemudiannya mula bergiat aktif dengan menjalani ujian secara berkala pada setiap hari Sabtu dan Ahad.

“Setakat ini saya sudah menyertai lebih daripada lima kejohanan termasuk di Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

“Pencapaian tertinggi saya setakat ini adalah naib johan bagi Kategori Remaja Bawah 15 Tahun dalam Kejohanan Woodball Kebangsaan Ke-18 di Pulau Pinang baru-baru ini,” katanya mengakhiri wawancara.