World Quran Hour selaras APAI 2030 – TKMI

Admin
img 8674

BERTAM – Surah As-Saff dipilih sebagai fokus dalam penganjuran World Quran Hour Peringkat Negeri Pulau Pinang tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, kandungan surah itu penuh dengan pengajaran tentang kepentingan perpaduan, keikhlasan dan perjuangan di jalan Allah.

“Dalam surah As-Saff ayat keempat menerangkan kepada kita bahawa pentingnya kesatuan dalam melakukan kebaikan dan memperjuangkan kebenaran.

“Kita diajak untuk berdiri teguh, berganding bahu dan membulatkan tekad ibarat sebuah bangunan yang tersusun kukuh dalam menuju kejayaan.

“Dalam konteks pada hari ini, surah tersebut mengajak kita untuk menyatukan hati dan fikrah serta berpadu tenaga demi membangun masyarakat yang berlandaskan Al-Quran dan sunnah.

“Al-Quran merupakan wahyu dari Allah S.W.T yang memberikan petunjuk kepada manusia untuk membezakan antara yang hak dan yang batil.

“Justeru, penghayatan Al-Quran melalui program hari ini dapat membantu kita memahami dan mentadabbur ayat-ayat Allah S.W.T dengan lebih baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada World Quran Hour Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025 di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas dekat sini, tadi.

img 8663

Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang, Norlina Ahmad antara yang turut sama dalam majlis tersebut.

img 8664

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, penganjuran World Quran Hour adalah tepat dan selaras dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang (APAI 2030).

“Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang mempunyai teras utama iaitu pembangunan sosioekonomi, pendidikan, keluarga, anak muda serta dakwah dan tarbiah.

“Agenda ini yang berkehendakan kehidupan beragama yang dinamik dengan membangunkan program-program untuk memperkukuhkan kehidupan beragama dalam kalangan masyarakat, termasuk aktiviti- aktiviti keagamaan, pengajian Islam dan program- program dakwah.

“Ia juga melibatkan teras pembangunan dakwah dan tarbiah kepada golongan anak muda, institusi keluarga, institusi pendidikan dan masyarakat keseluruhannya,” katanya lagi.

Sempena penganjuran tersebut, turut diadakan adalah pertandingan mewarna, bercerita dan video kreatif antara sekolah.

Difahamkan, selain di Masjid Abdullah Fahim, lokasi lain yang turut melangsungkan World Quran Hour adalah UiTM Cawangan Pulau Pinang; Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas dan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Mahat.

 

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI