KEBUN BUNGA – Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya dalam kalangam belia menjadi antara fokus utama Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan Oktober ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, adalah menjadi hasrat Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia di negara ini.
Antara intipati utama dalam bajet (Belanjawan 2020) kali ini adalah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“(Hal ini, sekaligus) dapat mengurangkan kadar pengangguran terutama dalam kalangan belia dan mahasiswa,” ujarnya pada sidang media sejurus merasmikan pengenalan perkhidmatan perubatan baharu di Mount Miriam Cancer Hospital (MMCH) di sini pagi ini.
Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit serta Ahli-Ahli Lembaga Pengarah MMCH dan Transmedic.
Mengulas lanjut, Guan Eng memaklumkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan juga akan memberi fokus untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan.
“Jika dilihat, penyertaan buruh di Malaysia, lebih 80 peratus adalah lelaki dan wanita cuma 56 peratus (mengikut jantina keseluruhan).
“Oleh itu, bajet kali ini juga akan memberi fokus untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan sekaligus dapat melahirkan pekerja yang produktif dan memberi manfaat besar kepada negara,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.
Selain itu, penglibatan sektor swasta turut menjadi agenda utama dalam bajet kali ini.
“Malaysia kini mengorak langkah ke arah negara maju dan ia harus dipimpin serta dipelopori oleh sektor swasta kerana mereka lebih efisien dan produktif.
“Apabila penglibatan sektor swasta ditingkatkan, maka ia akan membantu dalam pembangunan ekonomi,” jelasnya.
Menjawab soalan pemberita sama ada Belanjawan 2020 akan ‘menyentuh’ mengenai kos sara hidup, Guan Eng berkata ia juga akan diberi perhatian dan keutamaan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.
Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober 2019 dan dijangka menjadi belanjawan yang bersifat komprehensif dengan mengutamakan rakyat.
Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI