Wujud persekitaran terbaik bagi ibu menyusu

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


KEBUN BUNGA – Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2013 berlangsung dengan jayanya di perkarangan sebuah kompleks membeli-belah terkemuka di sini baru-baru ini dengan kehadiran kira-kira 50 ibu bersama anak-anak kecil masing-masing bagi menjayakan ‘penyusuan ibu serentak selama satu minit’.

Tidak ketinggalan adalah ibu-ibu dari seluruh negara yang turut menyusui bayi masing-masing secara serentak pada waktu sama.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng semasa perasmiannya berkata, Mother To Mother Peer Support (MMPS) merupakan satu momentum yang menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri mesra penyusuan ibu hari ini.

“Kita (Pulau Pinang) berharap untuk menjadi negeri pertama di Malaysia yang mewujudkan persekitaran terbaik bagi wanita atau para ibu untuk mengamalkan penyusuan berharga buat bayi mereka.

“Bayi adalah suatu anugerah yang tidak ternilai dan memerlukan khasiat susu ibu sepenuhnya bagi memperolehi zat.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab keluarga, masyarakat dan negara untuk memastikan serta menyediakan ibu-ibu dengan persekitaran yang kondusif bagi tujuan penyusuan,” katanya di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah World Alliance for Breastfeeding Action and Right Livelihood College (WABA), Prof. Datuk Anwar Fazal.

Dalam usaha menjadikan Pulau Pinang mesra penyusuan, pelbagai program telah dijalankan demi menjayakan misi tersebut seperti kelas penyusuan percuma dan menyediakan Bilik Laktasi di Komtar.

Pada program anjuran MMPS bersama Kerajaan Negeri tersebut turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya informasi dan forum penyusuan serta sesi bergambar bersama si cilik.