SUNGAI PUYU – Mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng berharap Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan terus mempergiat kempen mewujudkan pusat kitar semula di kawasan kejiranan demi merealisasikan Pulau Pinang sebagai negeri bersih, hijau, pintar dan selamat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian semasa merasmikan Pusat Kitar Semula Dewan Komuniti Taman Cengal Butterworth di sini pada 24 November 2024.
“Apa yang diusahakan oleh (Ahli Majlis MBSP, Chong Wei Hoong (iaitu mewujudkan pusat kitar semula lengkap dengan kemudahan pandu lalu) adalah amat bermakna supaya kita boleh jaga alam sekitar.
“Program ini amat bermakna kalau (kawasan Parlimen) Bagan membangun dengan lebih pesat, kita (penduduk negeri) perlu memastikan dalam pembangunan pesat ini ia mesti bersih, hijau dan sihat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih dalam majlis berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Guan Eng yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) kebangsaan berkata dengan berpindah tangan tampuk pentadbiran di bawah Perdana Menteri kini, sedikit sebanyak telah memanfaatkan pertumbuhan ekonomi kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di negeri Pulau Pinang.
Sebagai contoh, beliau memberitahu Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Puyu akan mendapat projek bina baharu Klinik Kesihatan di Thamby Kecik dengan kos RM40 juta; yang mana klinik kesihatan asalnya berada di Mak Mandin, Bagan.
“Saya telah mendapat jawapan daripada Kementerian Kesihatan bahawa tender akan dikeluarkan pada 24 Disember… saya percaya surat setuju terima (SST) akan dikeluarkan dan kerja-kerja (pemajuan projek bina baharu klinik kesihatan) akan bermula pada suku kedua tahun depan (2025),” katanya.
Tidak sekadar itu sahaja, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2025 turut memberi ‘kelulusan istimewa’ iaitu mewujudkan Pusat Transit Bandar (UTC) di kompleks sedia ada Penang Sentral dekat Butterworth.
Katanya lagi, Putrajaya juga turut bersetuju untuk membina projek lebuh raya bertingkat dari Juru ke Sungai Dua dengan kos pemajuan kira-kira RM2.7 bilion.
“Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) telah menyuarakan (masalah kesesakan trafik pada waktu puncak dan musim cuti di sepanjang lebuh raya dari Tol Juru ke Tol Sungai Dua, akhirnya Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025 (Persekutuan) telah mengumumkan akan buat sebuah lebuh raya bertingkat.
“Projek (pembinaan lebuh raya bertingkat ini) akan bermula pada tahun depan, akan ambil masa selama empat tahun dan dijangka siap sepenuhnya pada 2029,” ujarnya.
Difahamkan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi atas kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan beberapa kali menyuarakan kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan mengenai cadangan pembinaan projek lebuh raya bertingkat, hingga diumumkan oleh Perdana Menteri dalam belanjawan persekutuan pada Oktober lepas.
Berucap sebelum itu, ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze merakamkan penghargaan kepada Wei Hoong dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Taman Cengal Butterworth atas kejayaan mewujudkan pusat kitar semula serta kerja-kerja pengubahsuaian dewan sedia ada sebagai pusat kegiatan komuniti setempat.
Manakala, Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor dalam ucapan aluannya berkata Pusat Kitar Semula Dewan Komuniti Taman Cengal Butterworth merupakan pusat kitar semula yang ke-36 berjaya diwujudkan di kawasan pentadbiran bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut, setakat ini.
“Sehingga ini terdapat 36 pusat kitar semula – termasuk Pusat Kitar Semula Dewan Komuniti Taman Cengal – di bahagian Seberang Perai iaitu sepuluh pusat kitar semula di Seberang Perai Utara (SPU); 19 di Seberang Perai Tengah (SPT) dan tujuh di Seberang Perai Selatan (SPS).
“Diharapkan melalui Program Perasmian Pusat Kitar Semula Dewan Komuniti Taman Cengal ini, dapat mendidik masyarakat menjalankan aktiviti kitar semula sejajar dengan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang telah diperketat penguatkuasaannya pada Julai 2024 serta memberi impak positif dalam menjayakan Dasar Pengasingan Sisa di Punca,” jelasnya mewakili Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid.
Pertandingan mewarna kanak-kanak, pameran zoo mini, tarian zumba dan kebun kejiranan serta persembahan tarian naga merupakan antara aktiviti menarik yang dianjurkan serentak dengan majlis perasmian Pusat Kitar Semula Dewan Komuniti Taman Cengal Butterworth menjelang tengah hari tadi.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB