Wujudkan pengkalan data anak kariah masjid – TKM I

BAGAN DALAM – Semua masjid di negeri Pulau Pinang disarankan mewujudkan pengkalan data anak kariah demi memudahkan proses penyaluran bantuan berwajib.

 

 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiuddin Abdul Rahman berkata demikian semasa merasmikan Pusat Komputer Masjid Bagan Dalam di sini pada 4 Oktober 2022.

 

 

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti berkata, dengan mewujudkan pengkalan data tersebut sekali gus merelevankan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat.

 

 

“Kita ambil contoh, sekiranya dalam satu kariah itu terdapat individu yang sakit, kita dapat membantu mengikut jenis keperluan.

 

 

“Di Pulau Pinang terdapat lebih daripada 200 buah masjid yang merangkumi setiap inci kawasan kariah bermula dari Seberang Perai Utara (SPU) sampai ke Seberang Perai Selatan (SPS) bahkan hingga ke Barat Daya.

 

“Jadi fungsi masjid itu akan dapat dipertingkatkan, tidak ada lagi orang yang terbiar dan masuk ke dalam media sosial atau surat khabar mengatakan komuniti tidak bantu,” ujar Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

 

 

ADUN Bagan Dalam, M. Satees; Pengerusi Kariah Masjid Bagan Dalam, Mohamad Naser Othman; Imam Masjid Bagan Dalam, Mohamad Hashim dan Ahli-ahli Jawatankuasa berkaitan turut sertai majlis tersebut.

 

 

Pada majlis sama, Satees turut menyampaikan 10 unit komputer untuk kegunaan anak-anak kariah terutamanya pelajar sekolah.

 

 

“Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Dato’ (Ahmad Zakiyuddin) kerana beliau telah bagi kebenaran dan memang selalu berpesan, kalau untuk kebaikan masjid teruskan sahaja,” jelasnya.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD