Yakin Bkt. Bendera capai 1.5 juta pengunjung – KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BUKIT BENDERA – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bukit Bendera (PHC) mensasarkan seramai 1.5 juta pengunjung melawat pusat peranginan Bukit Bendera pada tahun ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai berikutan rekod pengunjung ke Bukit Bendera pada tahun lalu (2013) ialah 1.3 juta pengunjung, dua kali ganda lebih tinggi daripada jumlah dicatatkan sejak 2007.

Jelasnya, jumlah pengunjung yang direkodkan tahun lalu adalah yang tertinggi dalam sejarah kehadiran pengunjung ke Bukit Bendera dan tahun ini, dengan beberapa projek naiktaraf, Bukit Bendera akan terus menjadi pusat peranginan bukit terunggul di Malaysia.

“Selain pengenalan sistem baru keretapi furnikular pada 2011, penambahbaikan kemudahan sedia ada dan pengenalan beberapa projek baharu turut menjadi faktor peningkatan jumlah pengunjung ke Bukit Bendera.

“Kita (Kerajaan Negeri) telah membelanjakan RM1.5 juta untuk menaiktaraf stesen atas dan ini termasuk laluan berbumbung sejauh 80 meter untuk pejalan kaki di puncak Bukit Bendera,” katanya pada sidang media sejurus selepas Majlis Perasmian Laluan Berbumbung Pejalan Kaki di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Pengurus Besar PHC, Dr. Lawrence Khoo.

Dalam pada itu, Guan Eng turut berharap agar projek-projek penambahbaikan di puncak Bukit Bendera dapat disiapkan mengikut jadual.

“Setelah siap (projek penambahbaikan) kelak, Bukit Bendera akan menjadi terkenal dan pastinya menjadi tumpuan pelancong sama ada dalam negeri mahupun luar negara.

“Bukit Bendera pastinya menjadi destinasi wajib setiap pelancong yang datang ke Pulau Mutiara seperti yang digambarkan dalam papan iklan – ‘Anda tidak pernah berkunjung ke Pulau Pinang sehinggalah anda naik ke Bukit Bendera’ yang menyambut ketibaan pengunjung di sini,” ujar beliau.

Malah, peranti audio yang membolehkan pengunjung mengetahui maklumat, latar belakang dan sejarah sambil menikmati permandangan indah dari atas Bukit Bendera turut dibekalkan kepada pengunjung yang ingin menikmati kelainan ketika berkunjung ke Bukit Bendera.

Kini, terdapat 25 gerai menjual pelbagai jenis makanan dan minuman di Kafe Cliff yang menjadi pilihan untuk menjamu selera.

Selain itu, tarikan terbaru yang lain termasuk Muzium Burung Hantu, Taman Herba, Taman Periuk Kera dan Taman Tema Mini Escape, Monkey Business.

Pengunjung juga boleh mencuba mesin pencetakan duit syiling baharu dengan bermodalkan RM3 setiap satu. Menerusinya, pengunjung boleh mengumpul semua corak syiling dan hasilkan kraftangan seperti gelang tangan, anting-anting atau buah rantai.