SERI DELIMA – Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yakin calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng mampu meneruskan prestasi cemerlang di Seri Delima.
Menurut beliau, jentera Perpaduan dan parti (Parti Tindakan Demokratik, DAP) sentiasa bersama Hooi Peng.
“Selain itu saya yakin, calon (Hooi Peng) mempunyai jentera yang kuat untuk membawa mesej perpaduan kepada pengundi-pengundi Seri Delima.
“Setakat hari ini, sudah masuk hari kelima tempoh berkempen dan seperti saya sebut, masih tidak nampak gerak kerja parti-parti lawan khususnya kawasan yang ditandingi oleh DAP.
“Parti DAP dan jentera Perpaduan perlu senantiasa cergas dan aktif menjalankan kempen seperti biasa, sebab saya yakin rakyat ingin melihat kita ‘dengan sentuhan secara langsung’ yang mana ianya akan meninggalkan imej yang baik bahawa kita prihatin kepada mereka.
“Semestinya, apabila mengadakan ‘walkabout’ ada isu dibangkitkan dan kita perlu ambil tindakan, kalau boleh, kita ambil tindakan segera, kalau tidak boleh, kita kena pastikan selepas mengundi, kita adakan lawatan serta ambil tindakan,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Pusat Operasi N32 DUN Seri Delima dekat Lintang Delima 1 di sini petang tadi.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bagan merangkap Pengerusi Parti DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng; Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Fauzar dan calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) dari Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.
Kon Yeow yang juga calon DUN N26 Padang Kota dalam pada itu turut ‘menanti’ kritikan pembangkang (Perikatan Nasional) terhadap manifesto Kerajaan Negeri PH pada 2018.
“Sehingga kini kita belum dengar apa-apa kritikan dengan 68 manifesto pada ketika itu, sedangkan kita berbangga dengan pencapaian dan kita umumkan bahawa kita telah memenuhi hampir 94 peratus daripada 68 janji yang kita nyatakan.
“Tiada kritikan, tiada komen, kalau tidak ada maknanya mereka terimalah, kita pun memperkenalkan Visi Penang2030 untuk satu gagasan bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar berteraskan keluarga dan apa yang kita capai menginspirasikan negara,” ujar Ahli Parlimen Batu Kawan itu lanjut.
Kon Yeow dalam pada itu turut menyambut baik ucapan Omar yang mahukan Pulau Pinang menjadi sebuah negeri berasaskan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri serta menjadi contoh kepada Malaysia.