Yayasan Amal TYT agih 1,000 baucar bantuan kepada murid terpilih sekitar Pulau Pinang

TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) diiringi Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (kiri) dan Rozali Mohamud (kanan) menyampaikan sumbangan bantuan kepada para pelajar dalam Program Educare Kembali Ke Sekolah 2023 di Pasar Raya Mega Mydin Bertam di sini pada 13 Februari 2023.

PINANG TUNGGAL – Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang menganjurkan Program Educare Kembali Ke Sekolah dengan mengagihkan 1,000 baucar bantuan sumbangan kepada pelajar terpilih dari tujuh Sekolah Kebangsaan, lima Sekolah Menengah Kebangsaan, empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, sebuah Sekolah Convent dan sebuah Sekolah KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain) di sekitar negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak kerana sudi menyempurnakan acara penyampaian baucar sumbangan bantuan berkaitan kepada para penerima terpilih yang rata-rata daripada kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40).

“(Program Educare Kembali Ke Sekolah) ini adalah kali pertama kita (Yayasan Amal TYT) anjurkan.

“Dalam keadaan orang sebut sebagai tahun sukar pada tahun 2023, yang mana dijangka akan menghadapi kesukaran daripada segi ekonomi, kita harap lebih banyak pihak dan NGO dapat mengambil bahagian dalam program ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal dalam majlis berkaitan di Pasar Raya Mydin Bertam di sini pada 13 Januari 2023.

Turut berucap, Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud.

“Bagi tahun persekolahan 2023, akan bermula pada Mac 2023, (maka) Yayasan Amal TYT mengambil keputusan untuk menganjurkan program ini iaitu sebelum para pelajar cuti sekolah panjang.

“Terima kasih kepada semua yang dapat hadir; dengan sumbangan para penderma, kita dapat menyediakan sumbangan baju sekolah, kasut sekolah, sarung kaki dan peralatan ke sekolah secara percuma kepada para pelajar terpilih di seluruh negeri,” katanya sambil memberitahu bahawa para penerima terpilih boleh menebus baucar sumbangan bantuan di semua cawangan Mydin sekitar negeri Pulau Pinang dan Kedah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR