Yayasan Amal TYT agih 251 ekor lembu sempena program korban perdana tahun ini

Admin
e7c90756 efa5 473e 849d 1f1d3589f55a 1067x800

GEORGE TOWN – Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Pulau Pinang menyumbang sebanyak 251 ekor lembu kepada 212 buah masjid dan 25 surau sempena Program Korban Perdana Yayasan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud berkata program ibadah korban anjuran Yayasan Amal TYT Pulau Pinang tahun ini meningkat 2.52 kali ganda berbanding tahun lepas sebanyak 100 ekor.

img 20240616 wa0010
Sr. Rozali Mohamud.

“Berdasarkan pemerhatian, sebanyak 251 ekor lembu yg akan dijadikan korban di bawah kelolaan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang adalah yang terbanyak dalam negara setakat ini.

“Semua masjid yang mempunyai kariah dan 25 buah surau berkenaan di seluruh negeri Pulau Pinang akan menerima sekurang kurangnya seekor lembu untuk dijadikan korban pada tahun ini.

“Yayasan Amal TYT Pulau Pinang telah berjaya mengurus ibadah korban termasuk mendapatkan penyumbang, pihak yang melakukan korban, pembelian lembu korban serta penghantaran lembu korban kemasjid-masjid dan surau-surau berkenaan untuk dilaksanakan ibadah korban.

“Peningkatan penyertaan daripada penyumbang secara tidak langsung mencerminkan keyakinan penyumbang kepada pengurusan ibadah korban oleh Yayasan Amal Tuan TYT Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Rozali berkata, penghantaran lembu korban ke masjid-masjid dan surau yang terpilih dibuat pada Ahad 16 Jun 2024.

“Korban akan dilaksanakan oleh pengerusi kariah bersama pasukan mereka pada Hari Raya Aidiladha yang pertama manakala sebahagian kecil dari masjid-masjid yang mengambil bahagian akan melaksanakannya pada Hari Tasyrik.

“Pihak Yayasan menjangkakan seramai 13,500 golongan berpendapatan rendah (B40) akan mendapat sekurang-kurangnya 2 kilogram (kg) daging untuk dimasak mengikut kegemaran cita rasa masing masingdi bawah program tahun ini.

“Pihak Yayasan juga berharap ditahun-tahun yang akan datang, lebih ramai pihak yang ingin berkorban akan tampil kehadapan untuk berkerjasama dengan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF