Yayasan Amal TYT legasi Tun Ahmad Fuzi, ibarat ‘jejak emas’ sejarah negeri – Ketua Menteri

Admin
dsc 3407 TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (dua dari kiri) dengan diiringi isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor (tiga dari kiri) berkenan menerima cenderahati istimewa daripada Ketua Menteri (kiri sekali) dan isteri, Tan Lean Kee (kanan sekali) dalam Majlis Makan Malam Menjunjung Kasih Sanjungan Budi di The Light Hotel, Seberang Jaya pada 28 April 2025.

SEBERANG JAYA – Penubuhan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang akan terus menjadi legasi Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang selama empat tahun ini.

 

dsc 3350
KETUA Menteri dalam ucapannya mewakili sekalian rakyat Pulau Pinang merakamkan penghargaan atas kepimpinan berwawasan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri dalam meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran ekonomi Pulau Pinang.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Junjungan Kasih Sanjungan Budi yang dihadiri Tun Ahmad Fuzi dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor di The Light Hotel, Seberang Jaya pada 28 April 2025.

“Malam ini menjadi saksi pada rasa kasih, hormat dan rasa terima kasih terhadap pemimpin dan negarawan yang arif, berwibawa dan sangat dekat dengan rakyat Pulau Pinang.

“Sepanjang tempoh empat tahun Tuan Yang Terutama Tun (Ahmad Fuzi) memayungi Pulau Pinang, limpahan jasa dan sumbangan yang ditinggalkan ibarat ‘jejak emas’ yang terpahat di tanah sejarah negeri ini,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dan Ahli Parlimen Batu Kawan.

Selain penubuhan Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Kon Yeow memberitahu bahawa inisiatif Tun Ahmad Fuzi mengorak langkah bersejarah dengan merealisasikan hasrat Penanaman Satu Juta Pokok Dalam Sehari, hatta diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sekali gus meninggalkan warisan hijau kepada generasi negeri akan datang.

 

dsc 3399
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri atas kerjasama yang diberikan selama empat tahun ini.

Berucap selepas itu, Tun Ahmad Fuzi merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri khususnya pihak Kon Yeow sendiri atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh ditaklifkan sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang selama sepenggal, mulai 1 Mei 2021 hingga 30 April 2025.

“Sebenarnya tidak ada buku teks untuk menjadi (rujukan) bagaimana nak menjadi seorang Yang di-Pertua Negeri yang baik, tetapi saya cuba memainkan peranan secara proaktif dan berwawasan dengan nawaitu untuk bersama-sama menyumbang ke arah kesejahteraan rakyat dan pembangunan sosio-ekonomi negeri,” jelasnya.

 

dsc 3360
KETUA Menteri (berdiri, kanan) dan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (berdiri, kiri) saling menyantuni dan berjabat tangan dalam majlis berkaitan sambil disaksikan Law Choo Kiang (duduk) di sini pada malam tadi.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Law Choo Kiang dan isteri, Datin Seri Teoh Hooi Tuang; Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid dan isteri, Datin Noraini Abd. Jalil; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo dan isteri, Belinda Bhar serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang lain turut serta dalam tersebut.

Hadir sama, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, YA Dato’ Rozanna Ali Yusoff; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long dan isteri, Datin Faziah Johari; Ketua-Ketua Jabatan dan diplomat-diplomat jemputan.

Berkuat kuasa 1 Mei ini, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tun Ramli Ngah Talib dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan, menggantikan Tun Ahmad Fuzi.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT